Rumah terbuka DUN Ayer Molek erat silaturahim
AYER MOLEK 3 Mei – Selain meraikan Syawal, penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek turut menjadi medan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk di DUN itu tanpa mengira bangsa atau agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata, penganjuran itu turut digunakan untuk menyantuni penduduk dan pada masa yang sama mendengar permasalahan yang dihadapi mereka.
“Alhamdulillah Seawal jam 1 tengah hari sudah ramai yang datang ke rumah terbuka ini, bukan sahaja untuk menikmati hidangan disediakan tetapi beramah mesra bersama rakan dan kenalan selepas sekian lama tidak berjumpa.
“Inilah keunikan rumah terbuka, kita berkumpul dan mengeratkan lagi tali silaturahim,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Kompleks Japerun Ayer Molek di sini, hari ini.
Terdahulu rumah terbuka berkenaan dihadiri Yang di- Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.