Melaka manfaat Pra Pelancaran TMM2024 di ATM Dubai – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

DUBAI 2 Mei – Kerajaan Negeri menerusi Tourism Melaka dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka menyertai Pameran Perdagangan Pelancongan Bertaraf Dunia sebagai usaha mempromosikan pelancongan dan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada Arabian Travel Market 2023 (ATM 2023), Dubai World Trade Centre, di sini bermula 30 April hingga 4 Mei ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata penglibatan Negeri Melaka pada ATM 2023 itu bagi membina jaringan perhubungan perniagaan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, ia juga dapat menggalakkan kedatangan pelancongan terutama dari Asia Barat untuk berkunjung ke Melaka sebagai sebuah destinasi pilihan melancong.

“Melaka turut mengambil kesempatan di acara ini bagi mengadakan pra pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 yang turut disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khas dan disaksikan Duta Besar Malaysia di sana, Datuk Seri Ahmad Fadil Samsudin.

“ATM 2023 Dubai ini merupakan platform pelancongan perdagangan terbesar di Tanah Arab dan Asia Barat bagi menghubungkan ahli-ahli perniagaan dan para delegasi yang terdiri daripada penggiat-penggiat pelancongan professional dari serata dunia.

“Di sini, destinasi-destinasi pelancongan seluruh dunia akan mempamerkan pelbagai jenis produk pelancongan yang berpotensi untuk dipasarkan seperti rangkaian tempat penginapan berkualiti tinggi, tempat-tempat pelancongan menarik, pembangunan dan penggunaan teknologi dalam sektor pelancongan serta laluan-laluan sektor penerbangan baharu yang berpotensi untuk dijalinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pelancongan Melaka turut menggunakan kesempatan dan peluang keemasan yang ada dengan memperkenalkan lokasi ekopelancongan baharu yang ada di Melaka kepada pelancong di sana.

Jelasnya, peluang pasaran itu dimanfaatkan dengan mempromosikan beberapa pusat eko pelancongan di Melaka termasuklah Eko Pelancongan Paya Lebar, Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah dan Taman Laut Melaka dan lain-lain produk pelancongan yang terdapat di Melaka.

“Delegasi Melaka turut disertai Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh bersama pemain industri pelancongan Melaka seperti Baba House Melaka, The Orchard Wellness and Health Resort Melana dan Bel Travel & Tours Sdn Bhd. Pavilion Malaysia.

“Turut disertai 77 pengusaha hotel, ejen kembara dan pelancongan bersama enam pejabat pelancongan negeri seluruh Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha mempromosikan pelancongan Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

47888
Kongsi :
Previous post TUDM jalankan siasatan dalaman dakwaan anggota dibuli – Mohamad
Next post Cuaca panas: Murid, guru, kumpulan pelaksana dibenar pakai baju sukan
Ubah saiz-+=