Lima ditahan bantu siasatan kes bunuh pemilik rangkaian klinik kesihatan

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

SHAH ALAM, 2 Mei – Polis menahan lima individu di Ampang dan Kajang, Khamis lepas, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pemilik rangkaian klinik kesihatan yang mayatnya ditemukan dalam sebuah bagasi di gaung berketinggian 27 meter di Hulu Langat, dekat sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mereka terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 22 dan 40 tahun termasuk seorang lelaki berusia lewat 30-an, yang disyaki suspek utama kes tersebut.

Beliau berkata selain penahanan, polis turut merampas 12 telefon bimbit daripada mereka termasuk satu daripadanya milik mangsa.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa iaitu lelaki berusia 41 tahun telah menaiki kenderaannya untuk bertemu dengan suspek utama yang merupakan seorang kontraktor, di sebuah restoran di Semenyih, dekat sini kira-kira 11 pagi, 26 April lepas.

“Mangsa kemudian menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakan serumahnya pada hari sama dan meminta memasukkan wang syarikat berjumlah RM228,000 ke dalam satu akaun tidak dikenali.

“Turut menerima SMS adalah akauntan syarikat mangsa yang juga diarah membuat perbuatan serupa bagaimanapun tidak memasukkan wang seperti diminta kerana curiga, sebelum telefon bimbit mangsa gagal dihubungi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Beliau berkata polis kemudian menerima laporan daripada rakan serumah mangsa yang berusia 36 tahun dan ahli keluarga mangsa berkaitan kehilangan mangsa.

“Berdasarkan keterangan, suspek utama mengaku merancang dan membunuh mangsa sebelum dibuang dalam sebuang gaung di kawasan terpencil di Hulu Langat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan jerutan pada leher yang menyebabkan saluran pernafasan tersekat,” katanya dan menambah mangsa serta suspek utama didapati telah berkenalan sejak setahun lepas selepas membaik pulih klinik dan rumah mangsa.

Hussien berkata polis percaya motif kejadian adalah untuk mendapatkan wang kerana suspek mempunyai masalah kewangan bagi membayar peguam untuk kes berkaitan dadah dan suspek juga berjaya mendapatkan RM20,000 daripada mangsa.

Katanya kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan kemudian diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, polis menahan enam lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun dipercayai mencuri lapan kotak cip elektronik bernilai RM1.5 juta di gudang sebuah syarikat logistik di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, bulan lepas.

Hussein berkata kejadian turut melibatkan dua pekerja syarikat berkenaan yang bertindak melarikan lapan kotak cip tersebut, kira-kira 4.30 pagi, 21 April lepas.

Beliau berkata penahanan semua suspek di KLIA, Sungai Pelek dan Nilai, Negeri Sembilan dilakukan hasil aduan pengurus gudang berkenaan yang memaklumkan premis itu dipecah masuk dan kehilangan cip elektronik.

“Empat daripada mereka telah mengaku melakukan jenayah itu. Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2312
Kongsi :
Previous post Ab Rauf dilantik sebagai Presiden MAFA
Next post TUDM jalankan siasatan dalaman dakwaan anggota dibuli – Mohamad
Ubah saiz-+=