PKPD di Kampung Lubuk Redan dilanjutkan seminggu hingga 5 Jun

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Kerajaan bersetuju pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah dilanjutkan dari 30 Mei hingga 5 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat kerana masih berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit.

Katanya, kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di kampung itu yang dijadualkan tamat esok (29 Mei 2021).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto fail.

“Dalam tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 617 ujian saringan dan 27 individu disahkan positif COVID-19.

“KKM mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu direkodkan serta terdapat juga sampel ujian sedang menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka bermula 30 Mei sehingga 5 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sikap ‘keras kepala’ segelintir yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri mewujudkan 24 kluster sambutan perayaan itu setakat semalam.

“Secara kumulatifnya, 850 kes direkodkan daripada kluster ini manakala seramai 3,309 individu sudah menjalani ujian saringan.

“Paling membimbangkan apabila KKM mendapati kebanyakan kes positif dilaporkan membabitkan individu yang tidak bergejala.

“Bagi kluster ini, 699 kes tidak bergejala dikesan berbanding yang bergejala iaitu 151 kes,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, data KKM menunjukkan kluster sambutan Hari Raya Aidilfitri paling tinggi direkodkan di Tumpat, Kelantan iaitu 224 kes diikuti Kluster Simpang Sahari di Labuan sebanyak 123 kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

726
Kongsi :
Previous post COVID-19: 3 kematian membabitkan warga emas di Melaka
Next post Tenang semua! Barang makanan dan keperluan mencukupi
Ubah saiz-+=