PM setuju tambah peruntukan TVET Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 22 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menambah peruntukan bagi pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Negeri Melaka.

Menurut beliau, penambahan peruntukan tersebut susulan permintaan daripada Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selain selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan barisan Exco Kerajaan Negeri, baru-baru ini.

Menurut Anwar, peruntukan tersebut juga akan diperluaskan kepada institusi pendidikan berkaitan TVET seperti di universiti dan kolej-kolej berkaitan.

“Kita akan terus beri dorongan dan sokongan supaya keperluan (pekerja mahir) yang masih kurang dapat kita penuhi.

“Pada masa ini, kita memerlukan 30,000 orang jurutera yang masih belum dapat diisi sepenuhnya. Maka tumpuan ibu bapa dan anak-anak perlulah beralih kepada bidang Sains, Matematik dan TVET untuk tingkatkan keupayaan mereka dan agar kita tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Zuriyah Abd Aziz; Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Menteri dan Timbalan Menteri; Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Perdana Menteri, tumpuan penuh dalam bidang TVET perlulah diberikan oleh semua pihak bermula sekarang untuk mengelakkan negara ini daripada terus ketinggalan.

Malah, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak berbahas mengenai perkara remeh-temeh yang tidak berkesudahan, sebaliknya menumpukan kepada manfaat pendidikan untuk anak-anak pada masa akan datang.

“Kita perlu memenuhi ruang lapang dengan ilmu kerana negara memerlukan tenaga baharu dalam pelbagai bidang antaranya IT, semikonduktor dan pelbagai lagi peluang yang perlu kita persiapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Melaka luar biasa – PM
Next post Melaka pilihan pelabur kerana politik stabil, dasar ekonomi jelas – PM
Ubah saiz-+=