Pokok Batai Laut tumbang diganti baru

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 April. – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menanam anak pokok Batai Laut bagi menggantikan pokok asal berusia 127 tahun yang tumbang 17 Mac lalu.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya melalui penguat kuasa MBMB  menanam semula spesies pokok Batai Laut berusia enam tahun pada jam 4 petang kelmarin.

Katanya, inisiatif dengan kerjasama pakar penjagaan kesihatan pokok (arboris) itu menyarankan sebatang anak pokok yang dipilih di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Katil dipindahkan ke lokasi baharu berdekatan Jam Besar di Bangunan Stadhuys, dekat sini.

“Anak pokok Batai Laut ini berusia enam tahun dengan ketinggian dua meter. Pokok ini akan dijaga oleh pakar kesihatan pokok dilantik dengan pemeriksaan kesihatan akan dilakukan enam bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan gimik acara penanaman pokok Batai Laut di Jalan Tun Khalil Yaakob, di hadapan bangunan Stadhuys di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, pemerhatian awal mendapati punca sebenar pokok yang dikatakan menjadi ‘saksi’ sejarah di negeri ini tumbang disebabkan kerosakan akar yang mungkin berpunca daripada pembinaan tembok penghadang pokok di sekelilingnya.

“Akar pokok ini bukan akar tunjang tetapi ia jenis menjalar secara berselerak dan apabila ada tembok penghadang itu mungkin memberikan halangan kepada akar untuk tumbuh dengan lebih sihat.

“Bagaimanapun kita belum jumpa rekod tarikh bila tembok itu dibina. Apa-apa pun, saya harap anak pokok Batai Laut ini dapat membesar dengan baik seperti pokok ikonik sebelum ini, sekali gus mengembalikan nostalgia kepada semua khususnya rakyat Melaka,” katanya.

Pada masa sama, ujarnya, satu jawatankuasa khusus arboris dicadang akan diwujudkan selepas pertimbangan kerajaan negeri bagi menjaga dan memelihara pokok-pokok warisan di Melaka.

“Peristiwa yang berlaku baru-baru inu telah mendapat perhatian serius kerajaan negeri dan satu perbincangan akan diadakan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan jawatan arboris.

“MBMB akan membuat kajian, yang mana lebih menjimatkan kerajaan negeri sama ada melantik syarikat luar atau buka jawatan tetap dalam PBT.

“Bercakap tentang lanskap ni, ia adalah perancangan jangka masa panjang, sampai bila-bila pun kita akan berurusan dengan pokok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1351
Kongsi :
Previous post Jenazah bapa mentua Ketua Menteri selamat dikebumi
Next post LBS Bina bangunkan sebahagian koridor ekonomi M-WEZ
Ubah saiz-+=