Pokok ‘dua pemeluk’ tumbang, empat rumah terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

TELOK MAS 18 September -“Keadaan ketika itu agak mencemaskan, bukan sahaja hujan lebat malah disusuli bunyi guruh sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Ingatkan dahan sahaja yang jatuh tidak sangka pula pokok besar yang tumpang dan terkena garaj serta bumbung hadapan inap desa yang kami diami,” itu kata Mohd Syafiq Hamdan, 35.

Mohd Syafiq dan keluarganya menjadi antara mangsa dalam kejadian pokok tumbang di Taman Seri Telok Mas.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi tadi turut menjejaskan tiga lagi rumah di taman perumahan itu.

Menurut Mohd Syafiq, dia bersama 10 ahli keluarganya datang dari Johor Bahru, dan menginap di inap desa itu untuk menziarah saudara yang sakit, namun tidak sangka berdepan detik cemas.

“Dalam jam 3.30 pagi saya tersedar kerana bunyi pintu yang kuat seakan hendak pecah kerana angin kuat dan selepas itu saya cuba untuk tidur kembali sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat kira-kira jam 4.15 pagi.

“Kami tidak berani untuk keluar ketika itu cuma melihat dari dalam rumah kerana keadaan hujan lebat dan petir. Mujurlah dua kereta yang berada di garaj tidak mengalami kerosakan cuma kereta adik yang berada di luar patah cermin sisi,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Seorang lagi mangsa pokok tumbang Mohamad Rizuan Zainal Abidin, 39, berkata, susulan hujan lebat dan insiden pokok tumbang itu dia tidak dapat berniaga kerana tidak dapat menyiapkan barangan jualan.

“Saya tersedar untuk rebus teh tetapi keadaan ketika itu hujan amat lebat beserta angin dan guruh sebelum terdengar bunyi kuat selain anak-anak ketika itu agak takut.

“Akibat hujan lebat itu juga, air kemudian memenuhi ruangan hadapan dan bilik tidur ini disebabkan siling rumah bocor,” katanya.

IMG_20220918_122017_201
MELAKA 18 SEPTEMBER 2022. Keadaan pokok tumbang menghempap rumah penduduk dalam kejadian ribut di Taman Seri Telok Emas, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, seorang lagi penduduk Tan Hock Siang, 48, berkata, ini kejadian pertama berlaku sejak 30 tahun dia menetap di situ.

“Siapa yang tidak takut apabila kejadian seperti ini berlaku, mujurlah tidak libatkan kemalangan jiwa cuma bahagian hadapan rumah dan kereta yang rosak.

“Kita beli rumah untuk rehat tetapi bila berlaku kejadian seperti ini hendak duduk dirumah pun takut. Saya harap pihak berkuasa dapat selenggara pokok-pokok ini bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2532
Kongsi :
Previous post Banjir kilat landa beberapa kawasan di Melaka
Next post Kereta terbabas, pelajar Tingkatan 1 maut
Ubah saiz-+=