Kereta terbabas, pelajar Tingkatan 1 maut

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

DURIAN TUNGGAL 18 September – Seorang maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Padang Keladi, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam, V Dayalini, 13, yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 17 tahun yang tidak memiliki lesen memandu terbabas sendiri.

“Hasil siasatan mendapati kereta berkenaan yang dinaiki lima orang itu dalam perjalanan dari arah Pekan Durian Tunggal menghala ke Ayer keroh.

“Ketika di lokasi kejadian kereta itu hilang kawalan lalu terbabas di lorong bertentangan dan telah melanggar tebing tanah sebelah kanan lalu berpusing dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Melaka

“Namun, pada jam 1.10 pagi tadi, pihak trafik dihubungi Pondok Perhubungan Polis Hospital Melaka memaklumkan salah seorang mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan dan post mortem akan dijalankan oleh pihak Forensik Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat waris mangsa kemalangan mendapati kereta berkenaan dipandu rakan kepada keempat-empat penumpang yang merupakan adik-beradik dan sepupu.

“Kenderaan terlibat telah ditahan dan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8442
Kongsi :
Previous post Pokok ‘dua pemeluk’ tumbang, empat rumah terjejas
Next post Sukma: Muhammad Fakhrul tebus emas untuk Melaka
Ubah saiz-+=