Sukma: Muhammad Fakhrul tebus emas untuk Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Atlet olahraga Melaka Muhammad Fakhrul Razi Jailani memperbaiki kejayaannya pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) selepas mengungguli acara 20,000 meter (m) lumba jalan kaki lelaki, hari ini.

Acara berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Muhammad Fakhrul yang meraih gangsa bagi acara sama pada Sukma 2018, mendahului perlumbaan sejak dari awal sekali gus menamatkan perlumbaan dengan catatan masa satu jam 40 minit 05 saat (s).

Beliau meninggalkan atlet Pulau Pinang Sriven Tan (1:43.34s) di tempat kedua dan atlet Negeri Sembilan M. Sivanesh (1:46:09s) di kedudukan ketiga.

Atlet berusia 20 tahun itu ditemui selepas tamat acara berkata percubaan kali keduanya bagi acara itu ternyata berbaloi selepas berjaya menukarkan pingat gangsa kepada pingat emas pada Sukma kali ini.

“Pada Sukma lepas saya bersaing buat kali pertama dalam acara itu dan saya menghadapi kesukaran sehingga mengalami muntah.

“Jadi saya berjaya menebus emas bagi acara itu pada edisi kali ini selain merupakan catatan terbaik dan saya rasa bersyukur untuk itu,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurut beliau, Sukan SEA Kemboja 2023 kini menjadi impiannya selepas Sukma.

Dalam pada itu, penantian kontinjen Perlis membutirkan pingat emas sulung sepanjang saingan Sukma berlangsung akhirnya tertunai selepas atlet olahraga Kamal Farhan Rahman mengungguli acara lempar cakera lelaki.

Kamal Farhan yang membuat penampilan sulung di pentas Sukma, membuat lemparan sejauh 48.08 meter (m) tidak mampu dicabar peserta Sarawak Jonah Chang Anak Rigan (43.82m) dan peserta Johor Tan Jing Cheng (41.25m). — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5198
Kongsi :
Previous post Kereta terbabas, pelajar Tingkatan 1 maut
Next post Banjir: Dua PPS dibuka di Melaka
Ubah saiz-+=