Pokok warisan tumbang: Kenderaan berat jadi punca?

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 17 Mac – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) meminta kerajaan negeri mengkaji kemasukan kenderaan berat di kawasan warisan khususnya di sekitar Banda Hilir.

Pengurus Besarnya, Mohd Nasruddin Rahman berkata, ada kemungkinan kenderaan berat seperti lori yang melalui kawasan itu menjadi punca berlakunya gegaran hingga membuatkan membuatkan pokok-pokok ikonik yang ditanam sejak lewat kurun ke-19 lalu berserta bangunan warisan yang ada di sekitarnya tidak mampu bertahan.

Ujarnya, pelbagai kajian perlu dilakukan segera khususnya membabitkan aspek keselamatan dalam usaha menjaga imej kawasan berkenaan yang sering menjadi tumpuan pelancong.

“Kita perlu mengkaji dari segi trafik dan laluan di sekitar Bandar Warisan Dunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu) ini. Kalau boleh, kuat kuasakan larangan kenderaan berat memasuki kawasan ini.

“Kerana dari segi strukturnya kebanyakan yang ada di sekitar ini tidak begitu kuat sebenarnya. Jadi, untuk mempertahankan sejarah kita perlu kawal perkara ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di hadapan Bangunan Merah, pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mengkaji kekuatan setiap pokok yang diwartakan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi menjaga keselamatan orang ramai, khususnya pelancong.

“Kita juga risau pokok-pokok besar ini kerana ada juga kejadian dahannya patah dan sebagainya. Jadi, kita risau jika ia menimpa pelancong yang datang.

“Kalau ikutkan nilai sejarah, kita akui pokok-pokok besar ini mempunyai nilainya yang tersendiri. Tetapi, aspek keselamatan tetap perlu kita titik beratkan kerana sudah ada banyak kejadian pokok tumbang yang berlaku sekarang.

“Oleh itu, langkah-langkah tertentu perlu diambil untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” katanya lagi.

Terdahulu, MHI melaporkan, pokok besar berusia lebih 120 tahun di hadapan bangunan Stadhuys dan Jam Besar di Banda Hilir tumbang kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Pokok yang dianggap ikonik itu sering dijadikan lokasi bergambar dalam kalangan pelancong yang datang ke Melaka, malah pokok itu juga dikatakan menjadi ‘saksi’ anak-anak Melaka membesar sejak zaman nenek moyang lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post Rang undang-undang profesion kerja sosial dalam peringkat akhir
Next post Malaysia, Uzbekistan pertimbang kemungkinan pelaburan bersama projek tekstil
Ubah saiz-+=