Polis kawal ketat vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Vaksin COVID-19 yang dijadualkan tiba Ahad ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ianya akan dilakukan semaksimum mungkin bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini, menurut sumber portal Berita Harian, semalam.

PDRM pada masa ini bersiap-sedia untuk melakukan penugasan membabitkan proses penghantaran vaksin dari KLIA ke stor simpanan di Subang sebelum diedarkan ke empat lagi lokasi simpanan lain di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata walaupun pihaknya tidak menerima maklumat berhubung cubaan untuk mensabotaj sewaktu proses penghantaran, penyimpanan dan pengedaran dibuat, setiap pegawai dan anggota kini berada dalam tahap siap sedia.

“Kita mengambil kira semua perkara-perkara luar jangkaan, kemungkinan ada orang sakit jiwa yang cuba nak melakukan rampasan masa dalam perjalanan atau yang paling saya bimbangkan sekali sekiranya berlaku kemalangan semasa proses membawa vaksin ini sekali gus menyebabkan ia rosak dan tidak dapat digunakan.

“Harus diingat, vaksin ini bukannya murah dan saya mengambil kira bahawa ia tidak boleh dibeli dengan serta-merta dan proses mendapatkannya adalah sukar kerana negara perlu melalui proses membuat tempahan untuk mendapatkannya dan sekiranya rosak negara akan mengalami kerugian itulah sebabnya PDRM amat berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui BH hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau sudah memberi jaminan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa PDRM bersedia memenuhi semua tuntutan dan keperluan dari segi kawalan keselamatan sepanjang proses pengawasan vaksin itu.

“Saya mengambil serius keselamatan vaksin berkenaan, sekiranya berlaku sabotaj, kami khuatir ia nanti akan menimbulkan keraguan dalam kalangan orang ramai yang beranggapan bahawa vaksin mungkin telah dicemari. Itu yang kita takutkan jadi sebolehnya saya mahukan kawalan 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, proses pengawalan akan dilengkapkan dengan kawalan Unit Kereta Peronda (MPV), motosikal pengiring serta penguatkuasaan sewajarnya termasuk kawalan 24 jam di stor penyimpanan vaksin.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan vaksin ini termasuk sebarang cubaan curi, malah kami turut akan menempatkan satu kenderaan Balai Polis Bergerak di stor penyimpanan,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, semua vaksin Pfizer itu akan dibawa ke stor simpanan di Subang, sebaik tiba dari KLIA sebelum diasingkan untuk dibawa ke Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi zon utara; Senai, Johor, bagi zon Selatan; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Vaksin yang disimpan di stor simpanan Subang juga akan diedarkan untuk zon tengah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

233
Kongsi :
Previous post TNB pastikan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin stabil
Next post KPWKM saran buka lebih banyak TASKA OKU di Malaysia
Ubah saiz-+=