TNB pastikan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin stabil

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin COVID-19 seluruh negara, kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata, perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dan sedang diteruskan, bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin.

“TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik, di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti, melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya ‘Normal Off Point’ (NOP), ‘Automated Transfer Scheme’ (ATS) dan ‘Remote Terminal Unit’ (RTU),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja ‘penyelenggaraan berdasarkan keadaan’ (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan, bagi mengelakkan kegagalan pada sistem.

TNB juga melakukan sesi keterlibatan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan, untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.

Pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia, serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik, bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan, di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Malaysia bakal menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula 21 Feb, disusuli pelaksanaan fasa pertama program imunisasi pada 26 Feb.

Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Baharin memaklumkan syarikat utiliti itu turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas), kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

Dalam pada itu, Baharin memohon kerjasama kontraktor-kontrakor yang melakukan kerja-kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB, untuk menghubungi syarikat utiliti itu sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Orang ramai boleh melaporkan gangguan bekalan atau sekiranya menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB, melalui talian TNB CareLine 15454.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1145
Kongsi :
Previous post Rina Harun rasmi TASKA OKU pertama di Melaka
Next post Polis kawal ketat vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=