MELAKA BELANJA DOKTOR NAIK MENARA TAMING SARI PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 15 Oktober – Doktor di negeri ini berpeluang menikmati kemasukan percuma ke Menara Taming Sari sempena sambutan Hari Doktor menerusi inisiatif Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan berkata, tawaran yang berlangsung dari 10 Oktober hingga 8 November depan itu merupakan tanda penghargaan kepada golongan doktor atas khidmat dan komitmen mereka dalam menjaga kesihatan masyarakat.

Katanya, inisiatif itu turut memberi manfaat kepada ahli keluarga doktor menerusi tawaran diskaun 50 peratus bagi kemasukan ke menara ikonik berkenaan.

“Sempena sambutan Hari Doktor, Menara Taming Sari menawarkan kemasukan percuma kepada doktor bermula 10 Oktober sehingga 8 November depan.

“Selain itu, tawaran ini turut memberi manfaat kepada ahli keluarga doktor menerusi diskaun 50 peratus bagi kemasukan ke Menara Taming Sari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, doktor yang ingin menikmati tawaran itu perlu mematuhi syarat dan ketetapan ditetapkan, termasuk mengemukakan kad pengenalan pekerja yang sah ketika membuat penebusan di kaunter tiket.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan golongan doktor untuk memanfaatkan tawaran berkenaan, sekali gus menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dalam menghargai sumbangan petugas barisan hadapan.

841437729 39744871851766421 6425867240763028651 n

Sementara itu, Nur Azan berkata, operasi Menara Taming Sari ketika ini berjalan seperti biasa, namun tertakluk kepada keadaan jerebu dan tahap penglihatan di kawasan sekitar.

Katanya, operasi menara akan dihentikan sementara sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk sehingga menjejaskan jarak penglihatan, termasuk apabila objek dalam lingkungan dua kilometer tidak lagi dapat dilihat dengan jelas.

“Penghentian operasi itu bukan disebabkan masalah teknikal, sebaliknya demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung ketika menikmati pemandangan dari menara berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post KESIHATAN MENTAL, FIZIKAL WARGA KERJA JADI FOKUS MAIM
Next post HUGE 2026 PERKUKUH KEMAHIRAN, PACU DAYA SAING PELANCONGAN MELAKA