Polis lumpuh sindiket guna lori tiga tan simpan, edar dadah

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah lori tiga tan sebagai tempat penyimpanan dan merampas syabu seberat 141 kilogram (kg) dianggar bernilai kira-kira RM5.08 juta pada 27 Jan lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata rampasan itu susulan penahanan seorang lelaki warga Singapura disyaki dalang selain seorang wanita warga Vietnam dan empat lelaki tempatan dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata penahanan kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 42 tahun membawa kepada penemuan lori terbabit yang diletakkan di sebuah kawasan perumahan di Selangor.

“Sindiket berkenaan didapati bergerak aktif sejak sebulan lepas dengan modus operandi mereka berhubung sesama sendiri dan menjadikan tiga hotel berasingan sekitar ibu kota sebagai tempat persembunyian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

YAHAYA. Foto Facebook Polis KL

Mengulas lanjut, Yahaya berkata kedua-dua warga asing didapati memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial selain dibantu empat warga tempatan dalam sindiket itu.

Beliau berkata polis turut menemukan 0.7 gram dadah jenis heroin dan empat pil erimin 5 dalam serbuan terbabit.

Katanya siasatan lanjut mendapati selain dijadikan tempat menyimpan dadah, lori itu digerakkan bagi tujuan pengedaran dadah kepada pembekal lain di sekitar Lembah Klang.

Yahaya berkata polis masih mengesan penglibatan pihak yang menyediakan perkhidmatan lori terbabit kepada sindiket.

“Kesemua tangkapan yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari dan disiasat di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

780
Kongsi :
Previous post Kerajaan setuju RTM runding dapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022 – Annuar
Next post Menteri Kabinet harap tahun harimau bawa kemakmuran
Ubah saiz-+=