
POLIS MELAKA TIDAK LAGI BERLEMBUT KE ATAS PELAJAR SEKOLAH
BUKIT KATIL 23 Oktober – Pemeriksaan mengejut Polis Melaka di sebuah sekolah di Bukit Baru hari ini mendapati masih ada pelajar yang melanggar larangan membawa telefon bimbit ke sekolah, sekali gus mencetuskan keperluan terhadap pemantauan lebih ketat ke atas penggunaan peranti itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar tindakan membawa telefon ke sekolah bukan sahaja melanggar peraturan tetapi turut menimbulkan kebimbangan mengenai pendedahan pelajar terhadap bahan tidak sesuai yang boleh menjejaskan akhlak dan disiplin mereka.
Justeru, katanya pemeriksaan lain turut dilakukan bagi memastikan tiada bahan terlarang termasuk kandungan lucah disimpan di dalam telefon pelajar.
“Ada kalanya kita ‘must be cruel in order to be kind’ kerana selama ini pendekatan dilakukan secara lembut tetapi ada kalanya kita perlu bersifat secara tegas untuk kebaikan.
“Biarkan anak-anak ini menangis daripada kita menangis di kemudian hari,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan secara mengejut itu akan diteruskan secara berterusan di semua 336 sekolah di Melaka termasuk pemeriksaan melibatkan aspek disiplin, jenayah dan trafik.
Katanya, pemeriksaan itu bukan untuk menghukum pelajar sebaliknya untuk mendidik dan mencegah salah laku sejak awal selain mengingatkan ibu bapa untuk memantau tingkah laku serta aktiviti anak-anak di rumah.
“Segalanya bermula di rumah. Ibu bapa kena ambil berat apa yang anak-anak tengok dalam telefon mereka supaya tidak tersasar lebih jauh daripada landasan sebenar
“Pemeriksaan itu akan dilakukan secara mengejut, bukan dijadualkan, bergantung kepada ketua-ketua polis daerah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.