Polis Melaka tingkat pemantauan jenayah di kawasan industri

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BUKIT BERUANG 6 April – Polis Melaka bakal menguatkuasakan pemantauan terhadap kawasan perindustrian atau kilang di seluruh negeri ini sebagai inisiatif mengurangkan kejadian jenayah.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, usaha itu penting dalam mendukung hasrat kerajaan negeri menjadikan kawasan industri di negeri ini sebagai tempat paling selamat untuk bekerja dan pada masa sama memberi keyakinan kepada pelabur asing dan tempatan untuk melabur.

Sebagai langkah awal ujarnya, polis bersama pihak industri yang diwakili Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) bakal bekerjasama mewujudkan jawatankuasa urusetia yang berperanan membentuk sebuah model keselamatan di kawasan industri.

“Melalui jawatankuasa itu polis akan mengadakan lawatan ke kilang-kilang dan kawasan industri bagi memberi khidmat nasihat serta cadangan berkaitan aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang salah laku jenayah.

“Insya-Allah jawatankuasa urusetia ini akan diwujudkan pada minggu hadapan sebagai langkah pertama dan diikuti dengan langkah-langkah seterusnya, hinggalah pada akhirnya kita dapat jadikan kawasan perindustrian di Melaka sebagai kawasan bebas jenayah dalam usaha menarik kehadiran pelabur asing dan tempatan untuk melabur di negeri ini memandangkan sektor industri menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri.

“Pada masa sama, kita juga ingin menjadikan kawasan ini tempat yang selamat untuk pekerja tidak kiralah pekerja tempatan mahupun asing,” katanya selepas menyempurnakan ‘Townhall’ perjumpaan dengan pihak pengurusan sektor perindustrian dan perkilangan peringkat negeri Melaka Tahun 2021.

Hadir sama, Pengerusi FMM Cawangan Melaka Jimmy Ong Kim Heng dan wakil Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) Deputi Superintendan T. Gunasagran Thaivarasam.

Mengulas mengenai kadar jenayah membabitkan sektor industri, Abdul Majid bagaimanapun berkata, kes seumpamanya di negeri ini masih lagi rendah dan belum berada di tahap membimbangkan.

Menurutnya, antara kes jenayah di sektor industri yang paling kerap diterima ialah kes samun membabitkan pekerja asing ketika pergi mahupun pulang kerja.

“Jadi, melihat kepada trend tersebut, pihak polis akan duduk berbincang kepada pihak industri untuk mewujudkan satu pergerakan yang lebih efektif untuk mengelakkan gejala jenayah sama daripada terus berleluasa.

“Walaupun kadar jenayah di kawasan industri belum membimbangkan, namun kita tidak boleh memandang ringan kejadian-kejadian yang berlaku bagi memastikan matlamat kita menjadikan kawasan industri tempat paling selamat dan bebas jenayah berjaya dicapai,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Menyamar pegawai khas timbalan menteri, penganggur dipenjara 8 bulan
Next post JAIM kenal pasti ‘port’ ponteng puasa
Ubah saiz-+=