Polis Melaka tumpaskan ‘Geng 36’, selesaikan kes samun RM1.2 juta

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Empat lelaki dipercayai ahli kongsi gelap ‘Geng 36’ dicekup pihak polis hanya tiga hari selepas melakukan samun berkumpulan di sebuah kondominium mewah di Klebang.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek berusia 34 hingga 37 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Melaka di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin, kira-kira jam 3.45 petang.

Jelasnya, hasil serbuan berjaya menemui barang-barang samun termasuk sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover berwarna putih, selain pihanya turut merampas dua lagi kenderaan yang digunakan untuk melakukan jenayah itu.

“Kita masih menyiasat bagaimana kesemua mereka berjaya masuk ke negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, namun besar kemungkinan mereka menggunakan surat kebenaran daripada MITI  (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) atas kapasiti menjalankan perniagaan.

“Hasil tangkapan, kita mendapati kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan samun dan curi kenderaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 4 Jun lalu, mangsa, seorang ahli perniagaan bersama isteri berusia 42 tahun telah diikat sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pisau sebelum menyamun pelbagai barangan antik, barang kemas, wang tunai dan sebuah SUV jenis Range Rover dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 54 tahun pada jam 4.13 pagi pada 5 Jun lalu.

Hasil siasatan, mangsa mendakwa telah didatangi empat lelaki di kondominium miliknya pada 4 Jun jam 8.30 malam, sebelum kumpulan itu bertindak mengacukan senjata tajam dan mengikat mangsa bersama isteri.

“Di rumah itu juga terdapat dua lagi anak mereka berusia 8 dan 9 tahun, bagaimanapun kedua-dua mereka tidak diapa-apakan dan pasangan suami isteri itu juga tidak mengalami kecederaan.

“Difahamkan suspek mengambil masa kira-kira lima jam untuk menggeledah rumah mangsa dan mengambil pelbagai jenis barangan sebelum melarikan diri,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1145
Kongsi :
Previous post Pelajar SPM Henry Gurney lulus 98.3 peratus
Next post Padah miliki, jual senapang tiruan buatan sendiri
Ubah saiz-+=