Sorting by

×

POLIS MELAKA TUMPASKAN SINDIKET PENIPUAN KHIDMAT SEKS DALAM TALIAN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MELAKA 21 Mac – Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian dengan penahanan 15 individu termasuk warga China, di Kampung Lapan, Tengkera di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mereka yang ditahan kira-kira 6 petang itu terdiri daripada dua warga tempatan serta 13 warga China termasuk seorang wanita, berusia 26 hingga 49 tahun.

“Mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian melibatkan penipuan khidmat seks tidak wujud yang menyasarkan warga Taiwan melalui pusat panggilan.

“Siasatan awal mendapati ahli sindiket berkenaan telah berada di Melaka sejak awal Mac lepas dan masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.

Beliau berkata polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan tersebut iaitu 13 komputer, 40 telefon bimbot dan dua pasport dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM85,000.

Christopher berkata kesemua suspek direman empat hari bermula semalam hingga Isnin, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang perkhidmatan yang ditawarkan dalam talian,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan sindiket penipuan dalam talian boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di talian 011-2111222. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post SENTUHAN MPAG BAWA KECERIAAN, SINARI AIDILFITRI
Next post SWM ENVIRONMENT UKIR SENYUMAN LEBARAN