Sorting by

×

Polis menemukan petunjuk baharu kes mayat wanita dalam gaung

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SEREMBAN, 28 Mac – Polis mengesahkan membawa salah seorang suspek bagi mengesan bukti baharu yang dipercayai terkait dengan kes mayat seorang wanita dalam gaung, pada 20 Mac di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah itu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata operasi pencarian masih dijalankan di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud di sini hari ini.

“Hari ini polis ada membawa salah seorang suspek, siasatan masih berjalan. Kita harap kita dapat sesuatu, kami tengah berusaha mencari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya turut terlibat adalah unit forensik polis dan pasukan patalogi Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dalam siasatan yang dijalankan sekitar 4.30 petang tadi.

Beliau berkata butiran lanjut siasatan hari ini akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof.

Tinjauan Bernama mendapati, unit K9 turut membantu siasatan kes.

Pada 20 Mac lepas, mayat wanita tanpa identiti itu ditemukan dalam keadaan tertiarap, dan laporan bedah siasat mayat itu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan punca kematian.

Susulan itu polis menahan dua lelaki masing-masing berumur 41 dan 44 tahun, serta seorang wanita berumur 18 tahun direman, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata mayat itu dipercayai ditinggalkan di lokasi terbabit, bagi menyorokkan kematiannya dan kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

955
Kongsi :
Previous post Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah
Next post MySejahtera: Kerajaan masih runding berkenaan terma dan syarat penggunaan
Ubah saiz-+=