Polis nafi Awie bayar kompaun langgar SOP

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 10 Mei. – Polis Melaka menafikan legenda rock tanah air, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman sudah membayar kompaun sebagaimana didakwa kerana kesnya masih dalam siasatan.

Timbalan Ketua Polis negeri Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya selesai merakam percakapan selebriti berkenaan di kediaman penyanyi itu di Ampang, Selangor petang semalam.

Katanya, dakwaan individu yang mengatakan Awie sudah menyelesaikan bayaran tidak benar kerana polis belum melengkapkan kertas siasatan.

“Tiada sebarang kompaun dikeluarkan kerana siasatan belum selesai.

“Tindakan dan arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya juga belum kita perolehi, tunggu hingga selesai,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Bilik Gerakan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Semalam, memetik laporan The Star, Pengurus Acara Mubarak Akhtar mengakui kesalahan dilakukan selebriti itu dan sudah membayar denda.

Menurut Razali, setakat ini penganjur program turut dirakam keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan itu.

“Cuma ada beberapa individu membabitkan persatuan beca yang belum dipanggil merakam keterangan.

“Apabila selesai nanti, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan).

Sebelum ini, klip video berdurasi 42 saat memaparkan Awie gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila membuat persembahan bersama perminatnya tanpa memakai pelitup muka tular dalam media sosial sejak kelmarin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

519
Kongsi :
Previous post ‘Belanja hampir RM1,000 tapi tak dapat raya’
Next post PKP di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun
Ubah saiz-+=