‘Belanja hampir RM1,000 tapi tak dapat raya’

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

SEMABOK 10 Mei. – Susulan larangan rentas negeri dan daerah berkuat kuasa hari ini sehingga 6 Jun depan menimbulkan pelbagai reaksi orang awam kerana tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti yang dirancang.

Zuliyana Abdul salam, 43, ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) menyifatkan Syawal kali ini seakan tidak berbaloi apabila tidak dapat beraya di rumah saudara mara dan rakan sedangkan dia sudah membelanjakan hampir RM1,000 bagi membeli kelengkapan baju raya untuk suami dan tujuh anaknya.

“Saya dah belanja banyak untuk persiapan baju raya termasuk anak-anak… alih-alih kerajaan umum tak boleh rentas negeri dan daerah, jadi memang rasa sedih.

“Tahun lalu tak boleh raya, jadinya tahun ini memang teruja nak beraya, alih-alih tak boleh raya juga.

“Anak malah cakap buat apa pakai baju lawa-lawa, tapi duduk depan televisyen saja,” katanya yang merancang mengenakan baju berwarna merah sebagai tema sambutan tahun ini.

Katanya, raya tahun ini dia memilih untuk duduk di rumah sahaja memandangkan tidak boleh keluar ke mana-mana.

“Raya pertama saya rancang ambil gambar keluarga di dalam rumah saja…keluarga mentua di Perak, tahun lepas tak jumpa tahun ini pun sama. Suami pula lagi seronok sebab tak perlu berbelanja banyak, tapi saya pula dah terlebih bajet.

“Menu pagi raya pun belum rancang lagi sebab dah hampi hilang ‘mood’… mungkin buat rendang atau nasi himpit saja untuk anak-anak,” katanya.

RAHMAH.

Suri rumah, Rahmah A.Bakar, 69, berkata, ini tahun kedua dia tidak dapat berjumpa dan beraya dengan anak di Putrajaya berikutan pelaksanaan PKP.

Katanya, hanya panggilan telefon menjadi penghubung antara dia dengan anaknya jika lama tidak berjumpa.

“Raya tahun ini persediaan biasa saja, tidak meriah sebab anak tinggal di Putrajaya dan tidak dapat balik ke kampung dengan cucu. Adik-beradik juga tak dapat datang dan kami pun tak dapat ziarah.

“Seorang lagi anak bekerja di Hospital Melaka. Jadi setiap kali raya dia memang kerja siang dan malam, tiada masa bersama keluarga.

“Memang sedih sampai duit raya nak beri cucu pun ‘transfer’ dalam bank sahaja, begitu juga bermaafan hanya melalui telefon,” katanya sambil menambah dia dan suami tidak membeli baju baharu.

Katanya, bagi persediaan raya tahun ini dia bercadang memasak sedikit ketupat untuk makan bersama suami dan anak yang ada di Melaka.

“Raya tahun ni cuma buat ketupat sikit, memang biasa buat cuma tak banyak berbanding sebelum ini. Tetamu yang datang pun mungkin jiran saja,” katanya lagi.

NUR WAHIDA.

Bagi Nur Wahida Sharudi, 30, dia hanya melepaskan kerinduan dengan beraya di rumah mentua memandangkan keluarganya menetap di Seremban.

“Saya reda (tidak dapat rentas daerah dan negeri) sebab kampung saya di Seremban…sini rumah mentua dan dah dua tahun raya di Melaka.

“Persediaan baju pun beli saat akhir…beli apa yang ada saja selagi boleh pakai, janji utamakan anak-anak dulu,” katanya yang menetap di Semabok Perdana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka pantau harga daging, ayam, kelapa
Next post Polis nafi Awie bayar kompaun langgar SOP
Ubah saiz-+=