Produk interaktif 3D di Menara Taming Sari

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 Mei – Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) dijangka akan memperkenalkan produk baharu berbentuk lebih interaktif menggunakan kaedah visual tiga demensi (3D).

Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nasrul Ahmad berkata, perkara itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat mempunyai kepakaran teknologi 3D.

Menurutnya, perancangan itu antara fokus pihaknya dalam usaha memperkenalkan lebih banyak lagi produk pelancongan baharu.

“Apabila dilaksanakan kelak, pelawat akan dipersembahkan kesan visual 3D, selain berhibur pada masa yang sama usaha ini memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai teknologi terkini yang kami tawarkan kepada mereka.

“Contoh seperti taman tema yang mana apabila pengunjung datang mereka akan duduk dan memakai cermin mata khas sebelum berpeluang merasai perkara itu betul-betul berlaku, misalnya seperti menaiki ‘roller coster’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri dan Sambutan Ulang Tahun Ke-16 Menara Taming Sari yang turut dihadiri Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam, semalam.

Nasrul berkata, bagaimanapun perancangan itu masih diperingkat perbincangan selain MTSB turut menunggu kelulusan daripada Kerajaan Negeri bagi membolehkan tindakan selanjutnya.

“Perkara ini masih dalam proses perbincangan bersama syarikat yang akan kita adakan usahasama selain MTSB juga sedang menunggu kelulusan daripada Kerajaan Negeri sama ada hasrat untuk memperkenalkan produk baharu visual 3D ini dapat dilaksanakan.

“Sekiranya perkara ini berlaku ia akan mengambil masa antara satu hingga dua tahun untuk dilaksanakan sebelum diperkenalkan secara rasmi kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Nasrul berkata, MTSB menyambut baik kerjasama bersama Radio Klasik khusus sempena sambutan ulang tahun ke-16 menara ikonik itu apabila bersiaran langsung di Menara Taming Sari, selama dua hari.

“Saya amat berterima kasih kepada Radio Klasik yang hadir dan bersama-sama dengan kita menjayakan sambutan ulang tahun ini malah pihak radio berkenaan juga merangka pelbagai aktiviti menarik termasuklah bersiaran langsung untuk program Santai Kerabat Klasik yang membincangkan berkaitan Seni Tradisional Melayu, Dondang Sayang.

“Malah untuk esok (hari ini) pula para penyampai dan kru Radio Klasik akan berjumpa pengunjung dengan pelbagai pengisian aktiviti termasuklah pertandingan karaoke serta kuiz, saya amat berbesar hati dengan kerjasama ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post Ulat parkir ‘terciduk’, tiga positif dadah
Next post Melaka masih tunggu status terkini loji WTE
Ubah saiz-+=