Ulat parkir ‘terciduk’, tiga positif dadah

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 Mei – Lima ‘ulat parkir’ termasuk dua wanita yang dipercayai aktif dalam kegiatan parkir haram dicekup pada satu operasi khas yang dijalankan malam tadi.

Operasi di sekitar kawasan parkir Kampung Hulu, bermula 8 malam itu dijalankan penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, kegiatan individu tidak bertanggungjawab itu dikesan berlaku di sekitar Bandaraya Melaka termasuklah kawasan tumpuan pelancong.

Beliau berkata, melihat isu berkenaan seolah-olah semakin berleluasa, pihaknya bertindak mengadakan operasi selepas risikan dilakukan anggota MBMB yang mengesyaki berlakunya kegiatan ulat parkir haram.

“Hasil daripada operasi dijalankan itu kita berjaya mengesan lima individu berusia antara 40 hingga 47 tahun dan kesemua mereka adalah warga tempatan.

“Kesemua mereka ini dipercayai melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi di Banda Hilir.

Img 5261
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Shadan, kesemua mereka ini dipercayai aktif melakukan kegiatan haram itu kira-kira sebulan lalu dengan menyasarkan lokasi tumpuan pelancong bagi mengaut keuntungan.

“Kita percaya mereka ini yang terdiri daripada golongan gelandangan aktif sejak sebelum Ramadan lalu dan mereka akan mengenakan kutipan antara RM5 hingga RM10 untuk sebuah kenderaan.

“Daripada caj dikenakan itu, mereka ini dipercayai mampu meraih hingga RM300 untuk satu malam. Malah kita juga akan mengadakan semakan lanjut sekiranya benar individu terbabit adalah gelandangan kita akan rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Tambah Shadan, selain diambil tindakan kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), tiga daripada mereka termasuk seorang wanita telah diserahkan kepada pihak polis selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Bagi menangani isu ini daripada terus berleluasa dan memberi impak negatif, MBMB bersama agensi berkaitan akan melakukan pemantauan berkala kerana apabila melihat kelibat penguatkuasa mereka ini akan hentikan sementara kegiatan.

“Hasrat kita adalah ingin menghapuskan ulat parkir ini kerana tidak mahu mereka mengambil kesempatan ke atas pengunjung mahupun pelancong yang datang ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post Lantik penterjemah bahasa isyarat untuk khutbah Jumaat
Next post Produk interaktif 3D di Menara Taming Sari
Ubah saiz-+=