Lantik penterjemah bahasa isyarat untuk khutbah Jumaat

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER MOLEK 4 Mei – Semua masjid negeri dan daerah di Melaka disaran melantik penterjemah (bahasa isyarat) bagi membantu jemaah dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu memahami khutbah yang disampaikan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata setakat ini hanya Masjid Al-Azim Bukit Palah yang melaksanakan inisiatif itu sejak awal April lalu.

“Sebagaimana dalam mesyuarat jawatankuasa tadbir urus masjid Negeri Melaka, saya menyarankan supaya masjid-masjid di Melaka mewujudkan penterjemah semasa khutbah dibacakan.

“Penterjemah ini untuk mereka yang bisu dan pekak, mungkin mereka tidak dapat mendengar khutbah jadi kita lantik penterjemah yang datangnya daripada Persatuan Orang-Orang Bisu dan Pekak Melaka.

“Kita akan perluaskan ke masjid-masjid Kerajaan Negeri yang lain, mana-mana masjid yang berkemampuan menyediakan penterjemah kita sangat mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Kompleks Japerun Ayer Molek di sini, semalam.

Terdahulu rumah terbuka berkenaan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan lain-lain kenamaan.

Untuk rekod Melaka mempunyai empat masjid negeri iaitu Masjid Al-Azim di Bukit Palah, Masjid Selat di Pulau Melaka, Masjid Cina di Krubong dan Masjid Al-Alami Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

111
Kongsi :
Previous post 10,000 meriahkan Aidilfitri di Sungai Udang
Next post Ulat parkir ‘terciduk’, tiga positif dadah
Ubah saiz-+=