Pesisir Sungai Melaka semakin ‘havoc’!

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mei – Suasana di pesisir Sungai Melaka semakin meriah dengan pelbagai tarikan baharu diperkenalkan kepada pengunjung dan pelancong.

Antara yang mencuri tumpuan sudah tentulah Melaka Floating Market dan Windmill Pink Market bertempat di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Dataran Pengkalan Rama, di sini.

Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda berkata, tarikan pelancongan baharu yang dibuka secara berperingkat bermula bulan lalu kini semakin rancak apabila ia mula dipenuhi peniaga dan pengunjung.

Katanya, setakat ini, terdapat 55 peniaga sudah mula menjalankan operasi dengan pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, cenderamata dan perkhidmatan, selain turut diserikan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan sebagai daya tarikan kepada orang ramai.

“Menariknya, di sini juga terdapat tarikan lampu berwarna-warni yang dikenali sebagai lampu ‘windmill’ yang mana ia hanya terdapat di Negeri Melaka sahaja dan tiada di tempat lain.

“Kita juga giat menganjurkan pelbagai acara di kawasan ini bagi mempromosikan tarikan terbaharu ini kepada orang ramai, selain menarik lebih ramai peniaga.

“Selain itu, pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise di Taman Rempah juga akan diturunkan di Dataran Pengkalan Rama ini bagi membolehkan mereka menikmati tarikan yang ada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Melaka Floating Market: Raya And Promotion Day di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.

Majlis tersebut dirasmikan Ahli Lembaga Pengarah PPSPM merangkap Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka Ezlina Alias yang mewakili Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.

Whatsapp Image 2024 05 05 At 12.13.29 Am
KHAIRUNNISA (kanan) dan kenamaan melawat ke gerai peniaga Windmill Pink Market di Dataran Pengkalan Rama.

Menurut Khairunnisa, Pasar Terapung Melaka yang juga berada di lokasi sama dijangka akan dibuka dan dilancarkan pada Jun depan membabitkan sebanyak 30 buah bot dan peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan.

Ujarnya, majlis pelancaran itu dijangka akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Buat masa ini, kita masih membuka peluang kepada vendor yang berminat untuk menyertai Melaka Floating Market dan Windmill Pink Market ini dengan pelbagai promosi dan diskaun akan diberikan kepada mereka yang berminat,” katanya.

Untuk rekod, Melaka Floating Market dan Windmill Pink Market akan beroperasi setiap hari kecuali Selasa bermula pada jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

272
Kongsi :
Previous post ‘Puas hati beraya di rumah Ketua Menteri’
Next post TH lakukan persiapan akhir, sedia sambut ketibaan jemaah Haji
Ubah saiz-+=