TH lakukan persiapan akhir, sedia sambut ketibaan jemaah Haji
MADINAH, 5 Mei – Berbaki empat hari lagi untuk penerbangan pertama jemaah Malaysia musim haji 1445H/2024 tiba di Tanah Suci Madinah pada 9 Mei ini, menyaksikan pasukan petugas Tabung Haji (TH) semakin giat melakukan persiapan akhir.
Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin berkata secara keseluruhan hampir 90 peratus persiapan telah dilakukan untuk memastikan Duyufurrahman (tetamu Allah) selesa dan kebajikan sentiasa terjaga sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu.
“Pasukan petugas TH telah melakukan persiapan rapi untuk menerima ketibaan jemaah dengan penerbangan pertama tiba di Madinah pada 9 Mei, pukul 3.50 pagi.
“Ini termasuk menyiapkan bangunan penginapan para jemaah yang kini tinggal hanya 10 peratus dengan pihak pengurusan hotel hanya membenarkan pengurusan TH masuk untuk membuat persiapan tiga hari sebelum jemaah haji tiba ini,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata sebaik tiba di Madinah, jemaah akan dibawa terus ke hotel penginapan dengan menaiki bas.
Sepanjang berada enam hari lima malam di Madinah, Ashrof berkata masa para jemaah akan diisi dengan beberapa aktiviti seperti taklimat daripada TH, Ziarah Luar melibatkan kawasan bersejarah di sekitar Madinah dan ziarah dalam di Masjid Nabawi  termasuk ziarah Raudah.
“Selain itu, jemaah haji juga akan diberikan taklimat ibadat umrah oleh pihak Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci TH sebelum mereka bergerak ke Makkah untuk memastikan mereka benar-benar bersedia dan cukup lengkap untuk beribadat pada 9 Zulhijah nanti.
Untuk musim haji tahun ini, seramai 600 petugas haji termasuk perubatan, kebajikan, dan teknologi maklumat ditugaskan oleh TH untuk memastikan kelancaran operasi haji serta kebajikan para jemaah haji.
Kumpulan pertama petugas iaitu seramai 16 orang mula berlepas pada 30 April lepas diikuti dengan tiga kumpulan besar iaitu pada 2 Mei lalu melibatkan 150 orang termasuk 14 pengamal media, diikuti kumpulan ketiga pada 6 Mei seramai 70 orang dan selebihnya pada 9 Mei.
Sementara itu, seramai 60 petugas TH termasuk petugas perubatan berlepas ke Makkah semalam bagi mengadakan persiapan untuk menyambut jemaah di Tanah Suci.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas akan digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia, yang melibatkan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines dengan penerbangan terakhir pada 9 Jun.
Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri termasuk di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penerbangan pulang pertama dijadual pada 24 Jun dan terakhir pada 2 Julai 2024.
Pada masa yang sama, Ashrof turut berharap agar operasi haji pada tahun ini dikoordinasi dengan  baik dan berjalan lancar.
Beliau juga menasihatkan para jemaah agar sentiasa mengikuti saranan TH sepanjang berada di Tanah Suci termasuk mendapatkan maklumat terkini menerusi kumpulan WhatsApp Ketua Zon dan pengurusan Maktab masing-masing.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.