Polis nafi dakwaan paksa pasangan kekasih tarik balik laporan disamun

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Polis menafikan bahawa pihaknya telah memaksa sepasang kekasih yang mendakwa disamun di Bangsar menarik semula laporan seperti yang tular melalui satu ciapan di laman Twitter hari ini (semalam).

Apa yang berlaku adalah pengadu telah membuat laporan palsu berkaitan insiden disamun.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pada 4.15 petang semalam, seorang lelaki warga Pakistan berumur 22 tahun telah membuat laporan mendakwa disamun oleh sekumpulan lelaki warga tempatan. 

“Kejadian (didakwa) berlaku kira-kira 2 pagi (hari yang sama) semasa pengadu sedang merokok di Jalan Telawi 3, Bangsar.

“Pengadu mendakwa sekumpulan lelaki tersebut meminta wang dan memukulnya di bahagian muka lalu mengambil barangan peribadi berupa sebentuk cincin perak, rantai leher emas, telefon bimbit jenis i-phone dan wang tunai. Anggaran kerugian lebih kurang RM6,000,” menurutnya dalam kenyataan malam ini. 

Beliau berkata bertindak atas maklumat, semakan melalui rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian hari ini mendapati tiada sebarang kejadian samun atau pertengkaran seperti yang dinyatakan pengadu dalam laporan polis. 

 

Amihizam berkata rakaman CCTV juga menunjukkan pengadu bersama-sama dua wanita sedang menyeberang jalan dari hadapan Hong Leong Bank di Jalan Telawi ke tempat letak kereta dalam keadaan tenang dan tidak tergesa-gesa. 

“Keterangan awal pengadu kepada pihak polis pula didapati ada keraguan dan tidak konsisten. Berdasarkan keterangan saksi, wujud kehadiran polis menyuraikan beberapa pelanggan yang menjerit kerana mabuk di kelab yang dikunjungi oleh pengadu pada hari kejadian.

“Namun CCTV tidak memaparkan sebarang kejadian samun atau pertengkaran yang melibatkan pengadu dan teman wanitanya di lokasi kejadian.

“Polis mendapati pengadu telah membuat laporan polis palsu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan tuduh pengadu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana boleh dikenakan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

“Kenyataan mengenai layanan pihak polis ke atas pengadu serta dakwaan polis minta pengadu tarik semula laporan polis yang dibuat adalah tidak benar. Spekulasi berkaitan kenyataan yang tular di laman Twitter ini hendaklah dihentikan,” katanya.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post Garis panduan tapak pembinaan perlu diperkasa, jamin keselamatan pekerja, orang awam
Next post Op HRA 2022: JPJ keluar 16,377 saman setakat 8 Mei
Ubah saiz-+=