Garis panduan tapak pembinaan perlu diperkasa, jamin keselamatan pekerja, orang awam

Masa Membaca:4 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Setiap kali memandu di kawasan pembinaan di Lembah Klang ini, baik lebuh raya bertingkat mahupun bangunan tinggi,  pemandu e-hailing Sazali Mat Hassan, 41, akan berasa tidak tenang, terutama ketika terperangkap dalam kesesakan atau cuaca buruk.

Baginya, memandu di kawasan berkenaan, khususnya di laluan di bawah struktur yang sedang dibina, ibarat mempertaruh nyawa.

“Saya perlu melalui kawasan pembinaan lebuh raya bertingkat untuk pulang ke rumah di Sungai Besi dan kawasan itu sentiasa sesak teruk pada waktu puncak.

“Setiap kali ‘tersangkut’ di situ, saya jadi sangat takut, kalau-kalau ada benda jatuh menghempap deretan kenderaan.

“Bukan pemandu sahaja yang berisiko, pejalan kaki juga berdepan bahaya kerana di situ ada hentian bas dan jejantas yang saban masa digunakan oleh penduduk di kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

 KEMALANGAN PERJALANAN KE TEMPAT KERJA

Sazali mungkin tidak berseorangan dalam mengharungi rasa cemas dan bimbang ketika melalui kawasan pembinaan kerana sudah banyak kali negara ini dikejutkan dengan insiden di tempat sedemikian, termasuk yang meragut nyawa pekerja dan juga pemandu kenderaan. 

Antara kes yang pernah dilaporkan ialah seorang pemandu kereta jenis Perodua Kelisa maut dihempap besi penyangkut yang terjatuh dari sebuah kren di tapak pembinaan di Jalan Raja Chulan di sini, pada 25 Ogos 2016. 

Selain itu, pada Mac 2021, dua kemalangan berlaku pada masa yang sama di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), mengakibatkan tiga pekerja maut serta tiga lagi parah termasuk seorang pemandu kereta yang melalui jalan di lokasi berkenaan. 

Menurut Ketua Unit Cawangan Pencegahan dan Promosi Kesihatan Pekerja, Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Harun Bakar, sebanyak 33,096 insiden di tempat kerja dan  23,894 kemalangan semasa perjalanan ulang-alik ke tempat kerja dilaporkan sepanjang 2021. 

Katanya bagi tempoh sama juga, sebanyak 765 kes kemalangan maut dilaporkan dengan 240 kes berlaku di tempat kerja, manakala baki adalah mereka yang dalam perjalanan ulang-alik ke tempat kerja.

“Daripada jumlah kemalangan yang dilaporkan, 80 peratus membabitkan kaum lelaki,” katanya semasa membentangkan kerja kerja pada Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Tahunan ke-20 Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), bertemakan “Construction Safety – Beyond Compliance in the New Dawn“, di sini baru-baru ini. 

 PELAKSANAAN OSHCIM 

Mengulas isu keselamatan di tapak pembinaan, Pengarah Bahagian Keselamatan Tapak Bina Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Nazruddin Mat Ali berkata semua pihak, sama ada pelanggan, pereka bentuk dan kontraktor, perlu memainkan peranan memastikan keselamatan di tempat kerja.

“Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 (OSHCIM) menghendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja.

“Keselamatan tidak semestinya hanya dipratikkan ketika pembinaan ataupun post-construction di bawah OSHCIM dan Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan)(Keselamatan) 1986 (BOWEC).  

“Malah pengurangan risiko bahaya itu perlu bermula seawal mungkin, iaitu ketika peringkat perancangangan pembinaan dan mereka bentuk struktur di antara pereka bentuk dan pelanggan,” katanya. 

(BOWEC mensyaratkan kontraktor utama melantik penyelia keselamatan tapak bina bagi menjalankan penyeliaan keselamatan ke atas aktiviti pembinaan yang dijalankan  di tapak bina).

Mengulas lanjut, beliau berkata bekerja di tempat tinggi (WAH)) merupakan punca utama kemalangan maut di tapak pembinaan dengan kebanyakan kes melibatkan pekerja yang terjatuh atau dihempap objek yang jatuh dari tempat tinggi. 

“Hingga November 2020, sebanyak 63 kemalangan maut dilaporkan dengan 34 kes berkaitan kerja di tempat tinggi. 

“Sebanyak 81 peratus pula disebabkan oleh empat jenis kemalangan utama seperti kerja tempat tinggi (36.5 peratus), objek jatuh (17.5 peratus), penggunaan kenderaan (15.9 peratus) dan kerja-kerja korekan (11.1 peratus),” katanya. 

Menurut Nazruddin, risiko kemalangan dapat dikurangkan sebanyak 54 peratus sekiranya pereka bentuk mengambil kira aspek WAH ketika mereka bentuk struktur dan bangunan, sementara pelanggan pula diberi pendedahan akan risiko yang menunggu.

“Di tapak pembinaan, lori biasanya bergerak dalam keadaan reverse (berundur), dan situasi ini antara penyumbang kepada kemalangan akibat kenderaan. Justeru, jika designer dapat mengurangkan elemen reverse ini dalam perancangan projek, maka kemalangan akibat kenderaan berat di tapak pembinaan dapat dikurangkan,” jelas beliau.

PERATURAN BEKERJA DI TEMPAT TINGGI 

Nazruddin berkata pihaknya akan mengeluarkan satu peraturan khas berkaitan WAH di tapak pembinaan yang akan dimasukkan dalam OSCHIM. 

“Elakkan WAH jika boleh, sama ada melalui reka bentuk projek, penggunaan teknologi seperti Sistem Binaan Berindustri atau membina platform kekal di tempat kerja.

“Jika keadaan tidak boleh elak untuk WAH, kita buat satu garis panduan untuk mencegah insiden jatuh termasuk mengurangkan tahap kecederaan, contohnya dengan menyediakan jaring keselamatan, beg udara, dan crash deck (sistem mencegah insiden jatuh),” katanya.

Menurutnya, kaedah terbabit juga boleh dilaksanakan di bangunan bertingkat sedia ada.

“Contohnya, penyaman udara yang dibina dengan elemen keselamatan seperti berjeriji dan tertutup di kondominium memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dibuat oleh pekerja bagi mengelakkan terjatuh dari tempat tinggi akibat membaiki atau memasang penyaman udara,” katanya.  

CIS 28:2021 

Bagi memantapkan keselamatan pekerja dan orang awam di tapak pembinaan yang terdedah kepada objek jatuh akibat WAH,  Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan satu piawaian industri pembinaan baharu (CIS) dalam keselamatan awam dan penggunaan jalan raya pada November 2020. 

Pengurus Bahagian Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar CIDB Mazurah Ismail berkata CIS, khususnya CIS 28:2021, bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan pekerja di tapak pembinaan.

“CIS baharu ini yang boleh dimuat turun menerusi laman sesawang kami http://www.cidb.com.my, digubal susulan satu siri insiden pembinaan di SUKE sejak September 2020.

“CIS 28:2021 merupakan garis panduan amalan keselamatan di tempat kerja yang harus dipatuhi kontraktor, sama ada sebelum kerja bermula, ketika pembinaan dijalankan mahupun selepas pembinaan selesai menerusi penyediaan senarai semak.

“Piawaian ini terpakai di zon pembinaan seperti jejambat, jambatan, lebuh raya bertingkat, landasan rel bertingkat,  menara telekomunikasi dan talian penghantaran,” katanya.  -BERNAMA 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1804
Kongsi :
Previous post Sukan Sea: Nur Dhabitah hadiahkan pingat emas sulung Malaysia
Next post Polis nafi dakwaan paksa pasangan kekasih tarik balik laporan disamun
Ubah saiz-+=