Polis rakam keterangan saksi, orang ramai henti spekulasi
SUNGAI RAMBAI 11 April – Polis merakam percakapan beberapa saksi membabitkan kes remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dirogol bapa tirinya sehingga mangsa melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, lelaki kepada remaja itu juga antara saksi dan dia sudah dipanggil untuk diambil serta dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Selain beberapa saksi lain termasuk ahli keluarganya juga sudah dipanggil dan kita akan memanggil beberapa lagi saksi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program pengagihan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini.
Susulan kes itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan.
Malah katanya, kes berkenaan juga mengambil kira nilai sensitivi ahli keluarga dan mangsa.
“Berhubung kejadian rogol itu polis telah membuat tangkapan ke atas ibu dan bapa tiri remaja itu dan masih dalam siasatan lanjut.
“Oleh itu saya mohon kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau hal yang tidak tepat kerana ia boleh mengganggu siasatan. Biarkan pihak polis lakukan siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ibu kandung dan bapa tiri kepada seorang remaja perempuan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan remaja terbabit sehingga mangsa dipercayai melarikan diri akibat trauma.
Pasangan suami isteri berusia 40 dan 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 Sabtu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dipercayai baru pulang dari Sabah.
Penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 16 tahun itu pada jam 4.59 petang, 6 April lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.