
ZON BEBAS KENDERAAN LUBUK REZEKI 200 PENIAGA
BANDA HILIR 10 Oktober – Pelaksanaan inisiatif Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir bukan sahaja mewujudkan suasana lebih selesa dan selamat kepada pengunjung malah memberi nilai tambah kepada kira-kira 200 peniaga.
Impak hasil pelaksanaan inisiatif itu pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad diakui amat membantu peniaga meningkatkan hasil jualan.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pahlawan Walk Melaka, Rahim Abu Said berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Kami hanya mahu berniaga, selepas lebih tiga tahun pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir sepatutnya tiada isu atau desakan yang mahu inisiatif itu dihentikan.
“Majoriti peniaga di sini, termasuk di Bangunan Merah mahu pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan ini diteruskan kerana ia memberi manfaat serta tambah nilai yang lebih kepada peniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Rahim berkata, inisiatif itu amat membantu dalam merancakkan perkembangan ekonomi peniaga tempatan.
“Saya berniaga di sini sudah 17 tahun bukan 17 bulan, ia pemangkin kepada ekonomi orang Melayu. Tidak munasabah kalau dikatakan tidak boleh berniaga, sudah lama semua lari.
“Jangan jadikan (pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan) isu politik kerana kami peniaga mahu berniaga,” katanya.
Menurut Rahim, ketiadaan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan membolehkan pelancong menikmati suasana malam dengan lebih selesa ketika berkunjung ke kawasan sekitar Bangunan Stadthuys hingga ke Uptown Pahlawan Walk.
“Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan ini ia lebih baik kerana memudahkan pengunjung dan pelancong untuk datang menikmati suasana santai pada waktu malam malah mereka dapat berjalan bersama keluarga dengan lebih selesa tanpa kehadiran kenderaan.
“Malah kami juga tertunggu-tunggu penganjuran program dari Kerajaan Negeri termasuk Melaka Bila Larut Malam kerana apabila ada program pastinya kedatangan pengunjung lebih ramai dan pendapatan peniaga sedikit sebanyak turut bertambah,” katanya.
Jelasnya, sokongan peniaga terhadap pelaksanaan inisiatif itu juga dapat dilihat apabila ada yang mencadangkan supaya tempoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan dipanjangkan ketika cuti umum.
“Kalau tidak baik, peniaga tidak minta permohonan tambahan hari misalnya apabila ada cuti umum kita minta untuk tambahan hari agar dapat terus berniaga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

