Polis rampas dadah bernilai lebih RM10 juta

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10.3 juta dalam operasi, Op Tapis Khas Siri 2 di 125 kawasan penempatan rancangan Felda dan 222 kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam operasi selama tiga hari mulai Rabu lepas itu, polis turut menahan 3,668 orang termasuk 116 rakyat asing berusia antara 14 hingga 60 tahun, kata

“Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam selain enam pelajar sekolah menengah antara yang ditahan kerana memiliki bekalan dadah dan positif ujian saringan awal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata antara dadah yang dirampas dalam operasi itu adalah heroin seberat 5.79 kilogram (kg); syabu (279.16 kg); ketamin (29.8kg); ganja (1.03kg); pil erimin 5 (1.5kg); pil yaba (1.68kg); ekstasi (545.70 gram); serbuk ekstasi (71.20 gram); daun ketum (455.5kg); pil psikotropik (204.24gm); air ketum 269.05 liter; satu batang pokok ganja; dan 14.55 liter ubat batuk.

Menurutnya mereka yang ditahan dalam serbuan pada 23 hingga 25 Feb itu terdiri daripada 3,512 lelaki dan 156 wanita.

“Tangkapan itu turut melibatkan 572 pengedar dadah; 1,850 penagih dan 185 orang yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,Akta Racun 1952 serta ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ayob Khan berkata dalam serbuan di Jerantut, Pahang polis merampas sepucuk pistol tiruan, manakala selaras senapang berserta 17 butir peluru dirampas dalam serbuan di Selama, Perak dan selaras senapang patah dan senapang angin serta 18 butir peluru pula dirampas di Lawas, Sarawak.

Selain itu, JSJN turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta melibatkan wang tunai lebih RM159,000; barangan kemas bernilai lebih RM18,000; 22 kereta bernilai lebih RM553,000; 52 motosikal bernilai lebih RM276,000, selain sebuah topi keledar jenama Shoei bernilai RM700.

Sementara itu, mengulas mengenai penemuan kes berkaitan dadah di kawasan-kawasan Felda dan PPRT menerusi operasi khas itu, Ayob Khan berkata ia bukanlah sesuatu yang baharu dan tidak melibatkan semua kawasan berkenaan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

983
Kongsi :
Previous post Beberapa aktiviti pelancongan dihadkan selepas Pulau undan diwartakan
Next post Abdul Taib sambung khidmat sebagai TYT Sarawak
Ubah saiz-+=