Polis sahkan kejadian pesawat terhempas di Kapar

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Sebuah pesawat dilaporkan terhempas dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kapar, Klang hari ini.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

“Saya hanya boleh mengesahkan kejadian namun tidak dapat perincian kerana hanya nampak bahagian ekor pesawat,” katanya ringkas kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan kes itu dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

Hari ini, tular sebuah video berdurasi 17 saat memaparkan serpihan pesawat terhempas yang tidak diketahui modelnya di sebuah ladang kelapa sawit.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan pesawat itu terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.56 tengah hari dan segera menggerakkan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar.

“Setiba di lokasi, didapati ada kejadian kapal terbang terhempas dan kerja-kerja mencari mangsa sedang dijalankan dan status mangsa belum diketahui,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara S. Vijaya Rao yang berada di tempat kejadian berkata polis masing mengumpul maklumat lanjut.

“Saya baru tiba di tempat kejadian, masih mengumpulkan maklumat lanjut,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

988
Kongsi :
Previous post Aktiviti menarik menanti pengunjung di taman tema air 20 Feb ini
Next post Pesawat terhempas: CAAM sahkan terdapat dua mangsa termasuk juruterbang
Ubah saiz-+=