Aktiviti menarik menanti pengunjung di taman tema air 20 Feb ini

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 13 Februari – Taman tema air Melaka Wonderland menyediakan pelbagai aktiviti dan program menarik khusus buat pengunjung yang hadir pada 20 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland and Theme Park, Seow Cheng Swee berkata selain masuk percuma, pihaknya turut menyediakan 20 peratus diskaun untuk aktiviti dalaman yang lain.

Katanya, pihaknya turut menyediakan hadiah buat permainan pentas, persembahan maskot, senaman poco-poco air, dan pelbagai lagi.

“Pada 20 Februari yang merupakan cuti umum Negeri Melaka bersempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Melaka Wonderland and Theme Park memberi kemasukan percuma sepanjang hari.

“Pengunjung boleh menikmati pelbagai permainan dan aktiviti yang disediakan di taman tema air ini dan khusus pada 20 Februari ini nanti kita sediakan enam aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk Kamikaze Racer dan Aqua Zumba Wave Pool.

“Pengunjung yang mahu bermain di taman tema air boleh datang pada waktu siang dan pada waktu malam boleh melawat ke zon pesta cahaya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Cheng Swee berkata taman tema air itu mempunyai 11 tarikan yang menarik termasuk Tornado Chaser, Lazy River cum Crazy, Adventure Island, 1 Big Wave Pool dan pelbagai lagi yang boleh dinikmati pengunjung.

Jelasnya, taman tema yang berkeluasan 23 hektar dan dikelilingi kehijauan semulajadi itu sesuai untuk aktiviti bersama keluarga dan semua lingkungan usia.

“Pada 20 Februari itu juga kita menyasarkan seramai 6,000 pengunjung yang akan memeriahkan Melaka Wonderland Theme Park,”katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6172
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak maut dihempap runtuhan dinding rumah
Next post Polis sahkan kejadian pesawat terhempas di Kapar
Ubah saiz-+=