Sorting by

×

Polis tahan lelaki disyaki bunuh isteri dan bayi berumur tiga bulan

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada pukul 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan sekitar pukul 12.42 tengah hari, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dengan menelefon 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat ASP R. Kathiresh dengan menelefon 013-4472909 bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di atas jalan raya.

Sementara itu bapa mentua lelaki itu yang berumur 58 tahun ketika ditemui di tempat kejadian berkata beliau hanya tahu mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi selepas dihubungi ahli keluarganya, sebelum terus bergegas ke rumah anak ketiganya itu.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau melihat anak perempuannya yang berumur 26 tahun terbaring berlumuran darah di pintu hadapan rumah, manakala cucunya dikendong seorang jururawat.

“Saya nampak ada kesan seperti kelaran di leher mereka, kemudian polis tiba beberapa minit kemudian,” katanya dan menambah sebelum kejadian, beliau difahamkan jiran berdekatan mendengar anak dan menantunya bertengkar.

Beliau berkata anaknya telah berkahwin tahun lepas dan majlis persandingan dijadualkan berlangsung pada 24 Julai ini.

“Anak saya kerja separuh masa pembuat kuih-muih, boleh dikatakan setiap hari saya jumpa dan kali terakhir adalah semalam, gelagat dia juga seperti biasa ceria sahaja. Sepanjang dia berkahwin ini tidak ada pula dia kongsi ada masalah (rumah tangga) atau tidak,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1166
Kongsi :
Previous post Pastikan tiada penyelewengan dan ketirisan minyak masak bersubsidi dari kilang ke sempadan – PM
Next post Tunku Azizah berkenan melawat CENTEXS Sarawak
Ubah saiz-+=