
PPSPM ‘HIDUPKAN’ SEKTOR PELANCONGAN DI UTARA DAN SELATAN MELAKA
BANDARAYA MELAKA 31 Julai – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) kini sedang rancak mengenal pasti lokasi baharu selain sekitar Melaka Tengah untuk dibangunkan, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan di semua tiga daerah di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, antara produk bakal dilancarkan adalah Eco-Cruise Sungai Linggi dan Eco-Cruise Sungai Rambai.
Katanya, Eco-Cruise Sungai Linggi dijadulkan dilancarkan pada 29 Ogos nanti adalah kesinambungan daripada Eco-Cruise Sungai Linggi yang menawarkan keindahan flora dan fauna sepanjang sungai berkenaan yang bersempadan dengan Negeri Sembilan.
“Kedua-dua produk itu membantu menghidupkan sektor pelancongan di kawasan utara Melaka. Sementara itu bagi sebelah selatan Melaka pula kami sudah lancarkan Eco Cruise Tasik Chinchin di Tasik Chinchin, pada 22 Julai lalu.
“Jika semuanya berjalan lancar kami akan lancarkan Eco-Cruise Sungai Rambai pula selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan PPSPM Bagi Bulan Jun Dan Julai 2025, di Pejabat PPSPM di Pengkalan Rama, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Dan Kewangan PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda serta Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM, Salman Salim.
Menurutnya, Eco-Cruise Sungai Rambai akan dilancarkan selewat-lewatnya pada tahun hadapan dan mengikut perancangan operasinya akan berpusat di Dataran Riverside Sungai Rambai terletak di sempadan Melaka-Muar, Johor.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Shaharul Azuar berkata, PPSPM akan melihat kesesuaian seterusnya menambah baik kemudahan di jeti berkenaan menerusi kerjasama dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.