Sorting by

×

PRESTASI KEWANGAN MELAKA TERUS KUKUH – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan konsisten prestasi kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain dua anak syarikat berjaya dikeluarkan daripada kategori ICU.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan dua makmal penting iaitu Makmal Pemantapan Model Perniagaan Berteraskan Kelestarian dan Makmal Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka yang menjadi penanda aras baharu terhadap ketahanan kewangan negeri.

Katanya, prestasi kewangan anak syarikat negeri meningkat secara konsisten apabila 33 atau 52 peratus syarikat mencatat keuntungan pada 2022, meningkat kepada 35 syarikat (56 peratus) pada 2023 dan melonjak kepada 39 syarikat (62 peratus) pada 2024.

“Bukti jelas komitmen kita adalah dua anak syarikat yang berjaya dikeluarkan daripada kategori ICU iaitu Melaka Hari Ini Sdn Bhd (MHISB) dan ICM Industries Corporation Berhad. Syabas dan tahniah, ini pencapaian membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata daripada sudut pengurusan pinjaman, Kerajaan Negeri berjaya menurunkan baki pokok pinjaman daripada RM631.95 juta kepada RM625.50 juta pada 31 Disember 2024, sekali gus merekodkan pengurangan RM6.45 juta.

“Pencapaian ini memberi keyakinan untuk kita melangkah lebih berani, kreatif dan strategik dalam mengenal pasti sumber hasil baharu yang mampan, inklusif serta berimpak tinggi terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.

“Hasil negeri Melaka akan kita pulangkan kepada rakyat dalam bentuk pelbagai bantuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post PENJAWAT AWAM USAH BERLENGAH KUASAI AI – KM
Next post BAJET 2026 MELAKA: KONGSI PANDANGAN, CADANGAN MENERUSI MEDIA SOSIAL KETUA MENTERI