PRN Johor : Integriti, kredibiliti tidak diragui kriteria calon PN – Wan Saiful

KLUANG, 4 Feb – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dipilih berdasarkan integriti dan kredibiliti yang tidak diragui serta mewakili pelbagai golongan, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata PN bakal meletakkan calon daripada golongan belia, wanita dan ahli parti gabungan itu yang berpengalaman serta pemimpin dikenali.

“Kami gabungkan dan adunkan calon-calon ini supaya dapat menjadi ‘tarikan’ kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Sri Lukut, dekat sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata bagaimanapun senarai calon masih dalam perbincangan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Tentang bilangan calon, kami terima cadangan daripada pemuda, wanita dan bahagian-bahagian PN. Semua ini dipertimbangkan dan kami pastikan yang dipilih adalah terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi PRN Johor, beliau berkata semua jentera PN sudah bersedia untuk bergerak membantu bakal calon dalam berkempen.

PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada 9 Feb ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

197
Previous post Presiden PEKEMA Sarawak meninggal dunia
Next post Jabatan Pendidikan sedia sekiranya sekolah ditutup – Rais