Jabatan Pendidikan sedia sekiranya sekolah ditutup – Rais
AYER KEROH 4 Feb – Jabatan Pendidikan Negeri bersedia dengan sebarang arahan sekiranya sesi persekolahan secara bersemuka diarahkan tutup susulan peningkatan kes COVID-19 membabitkan kluster pendidikan di negeri ini.
Exco Pendidikan negeri, Datuk Rais Yassin berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka secara langsung telah berjaya mengawal kes COVID-19 dengan mengambil langkah pencegahan awal.
Katanya, antara langkah diambil adalah menyediakan laporan yang tepat dan mengasingkan pelajar yang positif selain mengisolasikan kontak rapat serta melakukan sanitasi segera terhadap sekolah yang terlibat.
“Untuk makluman, arahan penutupan sekolah adalah bergantung kepada penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara khusus terhadap mana-mana sekolah yang wujud penularan itu.
“Sehingga terkini terdapat lebih kurang 309 pelajar yang telah dikuarantin dan hampir 86 pelajar selesai menjalani tempoh kuarantin kendiri manakala dua buah sekolah bersedia untuk dibuka semula selepas musim perayaan ini.
“Namun, pihak Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa bersedia dengan sebarang arahan dan saranan yang berkemungkinan diberikan oleh JKN berhubung penutupan sesi persekolahan secara bersemuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang positif dan masih menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) dan di rumah atau asrama sehingga 8 Feb ini, mereka terpaksa menangguhkan peperiksaan.
“Mereka akan menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu pada sidang kedua pada bulan April 2022, yang mana tarikhnya akan ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kelak,” katanya.
Rais berkata, Jabatan Pendidikan Negeri bersama jabatan serta agensi terlibat sentiasa melipat-gandakan usaha kami membanteras wabak ini.
Beliau turut mengingatkan pelajar dan guru mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan langkah penjagaan dalam kalangan pelajar khusus berasrama di sekolah.
“Oleh itu, saya memohon agar semua pihak khususnya ibu bapa dan masyarakat sentiasa bersabar dan mendoakan agar usaha murni ini memperoleh kejayaan.
“Kerjasama daripada semua pihak amatlah diharapkan bagi memutuskan penularan Covid-19 ini dengan segera. Kita mesti menang bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.