PRN Johor: Pengundi perlu lihat rekod pencapaian PN – Mohamed Azmin

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

TANGKAK, 7 Feb – Rakyat Johor khususnya mereka yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, perlu melihat rekod pencapaian pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata antara kejayaan luar biasa PN adalah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah kerajaan terbaik dalam menjalankan usaha pemulihan COVID-19.

“Lihatlah rekod PN (walaupun) dalam tempoh begitu singkat, negara hadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi namun kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN berjaya membawa negara keluar daripada krisis ini, malah diiktiraf masyarakat dunia yang mana Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei meletakkan Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada tahun sebelumnya.

“Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Data tidak menipu. Ini kebaikan untuk industri di Johor. Kenapa kita tidak boleh terima? Kalau tidak suka janganlah sampai nak dipadamkan kejayaan dan fakta-fakta itu. Kita perlu teruskan kejayaan ini dan saya serahkan kepada rakyat buat keputusan dalam PRN Johor,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Industri Kecil Sederhana (IKS) dari kawasan Tangkak, Pagoh dan Muar di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan PN menghadapi PRN Johor memandangkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP masing-masing sudah mula mengumumkan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu, selain Barisan Nasional (BN) telah melancarkan jentera di beberapa zon.

Pada 9 Jan lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei, selepas hampir dua tahun memerangi pandemik COVID-19.

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks itu menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan fizikal yang kurang ketat.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata sektor ekonomi tidak lagi akan ditutup menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengambil kira kesan negatif terhadap ekonomi dan kadar pengangguran yang berlaku susulan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac 2020.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditanya jaminan kerajaan terhadap sektor ekonomi susulan Dr Noor Hisham mengumumkan kes baharu COVID-19 dalam negara semalam melebihi 10,000 iaitu 10,089 kes dilaporkan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post Dividen TH diunjur sekitar 3 peratus
Next post CAC MITC sesak dengan pesakit COVID-19?
Ubah saiz-+=