
PRN MELAKA: TOK AJAK SELESAI MENGUNDI DI SK TELOK MAS
TELOK MAS 14 November – Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila hadir mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, di sini.
Penyandang kerusi DUN Telok Mas itu tiba di pusat mengundi pada 8.20 jam bersama pasangan Datin Wira Sri Wangi Sujud dan lima anak sebelum menyelesaikan proses pengundian di saluran nombor empat pada jam 9.05 pagi.
Pada PRN Ke-16 ini, Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka, berdepan pertembungan tiga penjuru di mana akan dicabar Kapten (B) Mohamad Jaafar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Hazwan Mustafa daripada BERSAMA.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN dengan keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi.
Daripada jumlah itu, seramai 675,166 merupakan pengundi biasa, manakala 12,531 lagi terdiri daripada anggota tentera, pasangan dan anggota polis yang telah menunaikan tanggungjawab melalui pengundian awal termasuk undi pos.
Sebanyak 240 pusat mengundi biasa membabitkan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri bagi membolehkan 669,211
pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula 8 pagi hingga 6 petang.
Pilihan raya kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September lalu.
Pada PRN Melaka 2021, BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

