PRN Sarawak: 1,485 petugas bantuan PDRM bertugas di 11 IPD

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUCHING, 16 Dis – Seramai 1,485 petugas bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada pegawai kanan dan rendah ditugaskan di 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dalam ‘Op PRN DUN ke-12 Sarawak’ bagi memastikan proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini berjalan lancar.

Ketua Jabatan Pengurusan PDRM Kontinjen Sarawak SAC Gilberd Philip Layang berkata selain memastikan orang ramai keluar mengundi dengan selamat, mereka bertanggungjawab memastikan pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Kalau dulu fokus kita untuk tentukan orang ramai tak takut keluar dan beri keyakinan untuk mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi lima tahun sekali tanpa ragu-ragu. Namun untuk PRN ke-12 ini, kita ada satu lagi cabaran iaitu mengekang penularan COVID-19.

“Selain menentukan keselamatan awam, tuan-tuan juga bertanggungjawab membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19 dengan menentukan orang awam yang datang mengundi mematuhi SOP khusus yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SOP Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam amanat sebelum sesi pelepasan petugas Bantuan Sumber Manusia PDRM ke daerah masing-masing hari ini.

Petugas bantuan itu melibatkan 230 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Pusat Latihan Polis Kuching (270), Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak (827) dan Kontinjen Sabah (22).

IPD yang terlibat ialah Serian, Meradong, Mukah, Saratok, Betong, Sri Aman, Simunjan, Bau, Kuching, Lundu dan Samarahan.

Gilberd juga mengingatkan anggota yang bertugas agar menitikberatkan disiplin tinggi dan menjaga imej PDRM di mata masyarakat.

Menurut SPR, seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi Sabtu ini manakala seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 orang telah mengundi secara pos.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

985
Kongsi :
Previous post Penternakan ikan tilapia air payau bakal hasilkan pulangan lumayan
Next post Pekerja hotel dipenjara 7 tahun lakukan amang seksual
Ubah saiz-+=