Program berteraskan kerohanian warnai TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PAYA RUMPUT 31 Disember – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan terus diwarnai dengan pengisian program berteraskan kerohanian bagi memperkasa penghayatan asas Islam dalam kalangan rakyat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, selain menumpukan acara bertemakan pelancongan sepanjang 2024, program keagamaan turut menjadi antara tumpuan utama bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Katanya, penganjuran program kerohanian mampu memupuk rakyat agar tidak lupa kepada penghayatan Islam dan meningkatkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

“Insya-Allah, seperti penganjuran program Bandaraya Melaka Berselawat ini saya yakin dan percaya dalam sambutan TMM2024 nanti kita bukan sahaja akan menyajikan pelbagai program pelancongan malah kita akan terus tumpukan penganjuran seperti ini agar kita juga tidak lupa kepada asas Islam itu sendiri.

“Mengambil contoh penganjuran kali ini telah berjaya mengumpulkan lebih 50,000 umat Islam dan diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan seperti Habib Ali Zainal Abidin Assegaf atau dikenali sebagai Habib Bidin di mana ini kali pertama ulama terkenal Indonesia itu memilih Melaka sebagai negeri pertama beliau tiba di Malaysia.

“Alhamdulillah, kita yakin dengan sambutan yang diraikan penuh kesyukuran ini saya yakin ini bukanlah kali pertama dan bakal menjadi acara tahunan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ilmu Bandaraya Melaka Berselawat diadakan di Stadium Hang Jebat, di sini malam tadi.

Terdahulu, seawal jam 6 petang tadi umat Islam mula membanjiri stadium berkenaan bagi mendirikan solat Maghrib berjemaah dan disusuli selawat serta qasidah pada penganjuran itu.

Turut diadakan ceramah khas disampaikan Habib Bidin bersama Sheikh Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim Al-Zahari dan Ustaz Muhammad Hatta Syamsul Ariffin Abdul Rahim.

Program itu telah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan

Malam Bandaraya Melaka Berselawat dianjurkan Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pertubuhan Rizq Melaka merupakan sebahagian acara diadakan bersempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka 2023 (KIAM’23).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2365
Kongsi :
Previous post Lahirkan legasi penyambung warisan kompang
Next post Lelaki terlibat samun, ada 16 rekod jenayah maut berbalas tembakan dengan polis
Ubah saiz-+=