Lahirkan legasi penyambung warisan kompang

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 31 Disember – Pertandingan Kompang Kreatif yang diadakan bersempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka 2023 (KIAM’23) menjadi pemangkin dalam melahirkan pewaris kompang.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka, Ezlina Alias berkata pertandingan tersebut diadakan selari dengan gagasan Kerajaan Negeri untuk memperkasa warisan seni dan budaya di negeri ini.

Katanya, usaha mengadakan pertandingan kompang kreatif itu mendapat reaksi positif daripada pemain industri muzik tradisional dari seluruh negara, khususnya Melaka, Johor dan Selangor.

“Menerusi pertandingan ini kita mahu membuka mata pengunjung yang hadir dan menyaksikan persembahan kreatif yang ditonjolkan oleh setiap kumpulan yang bertanding.

“Kita juga mahu menampilkan seni kompang yang diketengahkan dan terdapat beberapa kumpulan yang menambah alat muzik seperti jidor, beduk dan pelbagai lagi.

“Peserta kumpulan juga terdiri daripada campuran ada penglibatan kanak-kanak, remaja dan dewasa. Mereka ini semua pelapis dalam mewarisi seni kompang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Pertandingan Kompang Kreatif di Perkarangan Stadium Hang Jebat malam tadi.

Pertandingan tersebut merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama Havoc Food Festival di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.

Ia disertai seramai 10 kumpulan terdiri daripada empat kumpulan dari Negeri Melaka, empat dari Johor dan dua dari Selangor bagi merebut gelaran juara.

Pertandingan Kompang Kreatif menawarkan hadiah berupa wang tunai RM2,000, medal dan sijil penyertaan kepada juara.

Manakala, RM1,500, medal dan sijil untuk tempat kedua, RM1,000, medal dan sijil untuk tempat ketiga dan RM500 buat setiap kumpulan yang mendapat saguhati.

Barisan juri berpengalaman menekankan formasi dan kreatif pada persembahan yang mana penilaiannya membabitkan 70 peratus daripada persembahan menggunakan kompang dan 30 peratus lagi adalah kreativiti kumpulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

984
Kongsi :
Previous post Konsert Manifestasi Kompang lepas Aidilfitri – JKKN
Next post Program berteraskan kerohanian warnai TMM2024
Ubah saiz-+=