Program ‘Outreach’ dilaksana di KL, Putrajaya kesan penduduk tercicir menerima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

JELEBU 6 Sept – Program ‘outreach’ vaksinasi bagi mengenal pasti penduduk yang tercicir menerima suntikan vaksin COVID-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dilaksana semula dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada penduduk di kawasan yang merekodkan kes COVID-19 melebihi 500 kes dalam tempoh dua minggu lepas terutamanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sekiranya ada peningkatan 500 kes COVID-19, kami akan hantar vaksinasi secara bergerak (mobile). Jadi, mana-mana warga kota yang berusia 18 tahun ke atas belum mendapatkan vaksin mereka boleh segera ke lokasi outreach berkenaan nanti.

“Pada awalnya program itu sudah dihentikan, namun saya ada mengadakan perbincangan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim agar mewujudkan semula program berkenaan bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias. Foto – Samudera.my

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadap Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad di Balai Undang Luak Jelebu, Kuala Klawang, di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, walaupun tahap vaksinasi dalam kalangan penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya melebihi 170 peratus hasil data diperoleh kementerian berkenaan, maklumat jumlah lebih terperinci diperlukan bagi memudahkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pasca Jawatankuasa Koordinasi dan Pengurusan COVID-19 baru-baru ini, bagi membolehkan dua wilayah berkenaan beralih ke Fasa Dua PPN dalam tempoh terdekat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

507
Kongsi :
Previous post Mereka dalam rayuan BPR terima BKC lepas keputusan diketahui
Next post Tambah baik rangkaian internet di kampung
Ubah saiz-+=