Projek HSR wujudkan pusat perniagaan utama di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 16 Nov – Pembinaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi HSR Kuala Lumpur-Singapura mampu mewujudkan pusat perniagaan atau ‘business centre’ di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Ali berkata perkara itu sekali gus mampu memberi limpahan ekonomi kepada kerajaan dari segi pelancongan malah mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Katanya, projek mega itu juga mampu menyelesaikan masalah pengangkutan terutamanya mengatasi kesesakan di negeri Melaka,

“(Jadi) saya bersetuju HSR ini diteruskan bermula dari Kuala Lumpur hingga ke Singapura.

“Secara tak langsung akan ada satu hentian untuk kereta api laju di Melaka untuk kita bangunkan negeri ini sekali gus menarik lebih ramai pelancong terus berkunjung ke Melaka.

“Kalau ia dibangunkan peluang pekerjaan akan banyak diwujudkan dan Melaka menjadi sebuah negeri bukan hanya pelancongan hujung minggu, maka menjadi sebuah ‘bisnes centre’ (pusat perniagaan) ramai orang tidak kira dari hari Isnin sampailah hari berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Soal Rakyat di TV3 sebentar tadi.

Katanya, projek HSR berimpak tinggi itu pada mulanya diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

“Sudah pasti jalinan keretapi laju ini akan wujudkan satu perhentian stesen yang baru di Melaka Sentral, dan dari Melaka Sentral ini akan ada lagi satu jajaran ke pesisiran pantai.

“Setakat ini peratusan pelancong asing yang datang ke Negeri Melaka melibatkan Singapura yang mencatatkan negara kedua tertinggi iaitu sebanyak 27.98 peratus selepas China iaitu sebanyak 31.15 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

919
Kongsi :
Previous post Sulaiman tempuh tiga krisis sebaik angkat sumpah KM
Next post ‘Tiada niat susahkan rakyat’ – Sulaiman
Ubah saiz-+=