Sulaiman tempuh tiga krisis sebaik angkat sumpah KM

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 16 Nov – Tiga krisis utama menjadi cabaran besar buat Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sejurus beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka pada 9 Mac tahun lalu.

Menurut beliau, tiga krisis  yang terpaksa ditempuhi itu adalah kesihatan, ekonomi dan politik di mana ketika itu wabak COVID-19 sedang melanda dunia.

“Penularan COVID-19 ketika itu cukup terdesak dan tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan berlakunya hampir lumpuh sistem kesihatan negara.

“Saya bersyukur atas kerjasama semua pihak termasuk rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta yang memberi komitmen cukup tinggi.

“Terima kasih saya ucapkan kepada rakyat Melaka kerana ketika itu, Melaka menjadi negeri tiga terbaik yang patuh prosedur operasi standard (SOP) seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya mesti merakamkan setinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus sehingga COVID-19 ini dapat dikekang,” katanya dalam siaran langsung Soal Rakyat di TV3, sebentar tadi.

Menurut beliau, selain keadaan politik yang turun naik ketika itu, seminggu selepas menjadi Ketua Menteri beliau turut berhadapan pula dengan krisis ekonomi susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ada di antara rakyat hilang pekerjaan sekali gus hilang punca pendapatan.

“Krisis ekonomi mula timbul apabila pelaksanaan PKP, semua diminta duduk dirumah dan semua sektor terhenti serta hampir lumpuh. Ramai mereka (penduduk) yang hilang pekerjaan dan anak-anak tidak dapat ke sekolah serta ada kehilangan punca pendapatan seperti mereka yang bergaji harian, tukang rumah kerana sampai tiga bulan duduk di rumah.

“Ini membuatkan saya cukup bimbang dan ketika itu saya bersama-sama rakan-rakan memikirkan untuk membantu, pastikan mereka tidak kebuluran dan dapat makanan rutin harian. Banyak inisiatif kerajaan hulurkan untuk rakyat demi kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, krisis air juga antara cabaran utama apabila Melaka mengalami catuan bekalan air berjadual.

“Ketika kerajaan minta rakyat duduk dirumah, saya cukup bimbang kita minta mereka duduk dirumah ketika itu air tiada dan saya mesti selesaikan.

“Alhamdulillah, tidak sampai sebulan, catuan air dapat kita hentikan iaitu pada 1 April tahun lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post M-WEZ: Sulaiman mahu Melaka setaraf Singapura
Next post Projek HSR wujudkan pusat perniagaan utama di Melaka
Ubah saiz-+=