Projek kereta api laju KL-JB hanya spekulasi – Mustapa

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 4 Jan. – Kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci mengenai hala tuju terbaharu negara selepas pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun timbul spekulasi mengaitkan projek tersebut akan diteruskan membabitkan jajaran Kuala Lumpur-Johor Bahru (KL-JB), tanpa melibatkan Singapura, namun perkara itu belum dimuktamadkan.

“Kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menentukan hala tuju seterusnya. Pada masa ini, apa-apa spekulasi mengenai projek kereta api laju KL-JB hanyalah spekulasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pembatalan projek HSR adalah jalan terbaik buat negara selepas terkesan teruk dek penangan COVID-19 yang melanda dunia.

Jelasnya, situasi pandemik itu telah memberikan cabaran amat besar kepada aspek kesihatan dan ekonomi yang belum pernah dihadapi negara, sekali gus telah memaksa projek itu dinilai semula.

“Projek ini telah ditangguhkan pada Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke 14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama Kerajaan. Kerajaan ketika itu telah mengkaji semula pelaksanaan kesemua projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Vision Valley dan MRT3.

“Kemunculan COVID-19 telah memaksa Kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan kos beberapa projek mega serta mengenal pasti strategi bagi memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.

“Perkembangan ini menyebabkan syarat asal Perjanjian Dua Hala yang dimeterai pada tahun 2016, tidak lagi berdaya maju bagi Malaysia. Kita terpaksa meneliti semula keseluruhan struktur projek dan model perniagaan yang termaktub dalam perjanjian tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, berikutan itu, kerajaan telah membuat kajian termasuklah membabitkan struktur projek, model perniagaan, reka bentuk dan sistem terbaharu yang boleh diguna pakai selepas pihak Singapura bersetuju memberi penangguhan terakhir projek berkenaan pada Mei tahun lalu.

Namun, setelah melalui beberapa perbincangan, kata sepakat masih gagal dimeterai di antara kedua-dua negara.

“Hasil daripada kajian semula yang dijalankan, kita telah mencadangkan struktur baharu yang pada pandangan Malaysia bukan sahaja lebih kemas, malah model HSR yang dicadangkan itu digunakan secara meluas di seluruh dunia, antaranya di Eropah, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan.

“Cadangan struktur projek baharu itu juga mengelakkan kerajaan daripada memberikan jaminan berjumlah RM60 bilion selama 30 tahun. Di samping itu, ia juga memberikan kita lebih banyak fleksibiliti dalam membiayai projek ini.

“Selain daripada itu, kita juga telah mencadangkan beberapa perubahan lain. Ini termasuklah perubahan kepada jajaran dan reka bentuk stesen yang kesemuanya akan mengurangkan perbelanjaan kira-kira 30%.

“Beberapa perbincangan yang intensif pada peringkat teknikal dan peringkat menteri telah diadakan sepanjang enam bulan yang lalu. Perdana Menteri kita dan Perdana Menteri Singapura juga telah mengadakan sidang video pada 2 Disember 2020 lalu. Malangnya, kita gagal mencapai kata sepakat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, menyebut soal pampasan yang perlu dibayar, Mustapa berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan mengenai perkara berkenaan memandangkan ia termaktub di bawah Perjanjian Dua Hala.

Bagaimanapun, tegasnya, pampasan yang perlu dibayar itu bukanlah bersifat punitif, sebaliknya ia adalah untuk membayar semula kos tertentu projek yang sudah dibelanjakan Singapura.

Views:

403
Kongsi :
Previous post Penjawat awam boleh bekerja dari rumah jika dapat arahan
Next post Kim Swee dilantik Pengarah Teknikal FAM
Ubah saiz-+=