Kim Swee dilantik Pengarah Teknikal FAM

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BEKAS pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee diumum sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu berkuat kuasa 1 Januari.

Kim Swee, 50, diberi tugas menjawat jawatan tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Peter de Roo.

FAM dalam satu kenyataan berkata, Kim Swee dianggap pilihan terbaik untuk menjawat jawatan berkenaan memandangkan pengalaman luasnya sebagai pemain dan jurulatih dalam pelbagai peringkat.

untuk rekod, Kim Swee bukan lagi nama asing dalam arena bola sepak negara memandangkan anak jati Melaka itu sebelum ini pernah mencungkil ramai bakat-bakat muda negara selepas memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan.

Dia yang juga bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an, turut menjadi antara individu penting membantu skuad Bawah 23 tahun (B23) negara meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia, disusuli pingat perak Sukan SEA 2017 di laman sendiri.

Selain itu, dia juga turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Beliau turut pernah dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan sebanyak dua kali iaitu dari 3 Februari 2014 hingga 28 Jun 2014 selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat dan dari 5 September 2015 hingga 18 Januari 2016 selepas Dollah Salleh meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

Kim Swee kemudian akhirnya dilantik secara penuh sebagai ketua jurulatih kebangsaan dari 18 Januari 2016 hingga 25 Mac 2017 dan selepas itu, beliau diamanahkan pula untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Sebelum ini, dia turut dilantik memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal FAM merangkap Ketua Unit Belia FAM.

Views:

388
Kongsi :
Previous post Projek kereta api laju KL-JB hanya spekulasi – Mustapa
Next post 20,000 nelayan belum mencarum PERKESO – LKIM
Ubah saiz-+=