Sorting by

×

PROJEK PERTANIAN, PENTERNAKAN MAIM SEMAKIN RANCAK

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERKAM 5 Mei – Projek pertanian dan perladangan di Taman Rimbunan Kaseh milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) semakin rancak dengan pelbagai tanaman dan ternakan telah diusahakan.

Setiusaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, antara tanaman yang diusahakan adalah seperti buah tin, jagung, cili dan pelbagai jenis sayur-sayuran lain, selain turut membabitkan penternakan ayam telur, kambing serta ikan keli.

Katanya, projek berkenaan diusahakan oleh operator yang dilantik MAIM menerusi anak syarikatnya iaitu MAIM Holdings Berhad dan MAIM Industries Berhad, di mana ia bukan sekadar projek yang mementingkan keuntungan, bahkan hasilnya akan turut dikembalikan bagi membantu golongan asnaf di bawah MAIM.

“Di sini, terdapat 16 rumah kaca yang diusahakan dengan pelbagai tanaman dan yang terbaharu adalah buah tin yang mula ditanam pada Julai tahun lepas dan kini telah selesai tuaian pertama yang memberi hasil dan kini sedang dalam proses tanaman dan tuaian berikutnya.

“Selain itu, pihak operator turut bekerjasama dengan beberapa pihak lain bagi memastikan kaedah penanaman yang terbaik, di mana ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada kaedah tanaman konvensional, bahkan kaedah moden turut dipraktikkan di sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaifulfazlee, projek pertanian dan perladangan di Rimbunan Kaseh telah dilawati Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, baru-baru ini.

Jelasnya, dalam lawatan tersebut, Tun Dr. Mohd Ali turut memberikan beberapa cadangan dan pandangan untuk menambah baik projek berkenaan, antaranya menjalinkan kerjasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri yang lain.

“Sebagai contoh, Tun Dr. Mohd Ali ada memaklumkan bahawa Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) ada mengusahakan projek rumput napier yang dapat membantu dalam penternakan kambing di sini, jadi kami mengambil maklum berhubung segala cadangan untuk menambah baik projek ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

522
Kongsi :
Previous post ‘MPHTJ RUNNING COMMUNITY’ SEMARAK GAYA HIDUP SIHAT
Next post BULI DI GIATMARA KES LAMA, SUDAH SELESAI – EXCO