Sorting by

×

PEMAJU DISARAN BINA KEMUDAHAN IKUT KEPERLUAN RAKYAT – KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 7 Julai – Semua pemaju di negeri ini disarankan untuk memberi keutamaan kepada aspek keperluan rakyat dalam setiap pembangunan yang dirancang, bukannya hanya mengejar kemewahan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu wajar dalam memastikan setiap pembangunan perumahan mahupun komersial dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira keperluan semasa serta kepentingan generasi akan datang.

Katanya, pembangunan yang dirancang perlu berteraskan prinsip bahawa kemudahan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

“It’s not about luxury, it’s about necessity. Pembangunan bukan semata-mata soal kemewahan, tetapi perlu berasaskan kepada keperluan rakyat.

“Pemilikan rumah mahupun pembinaan lot kedai di sesuatu kawasan perlu dilaksanakan secara seimbang selaras dengan keperluan semasa serta mengambil kira kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Mampu Milik antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Skywiz Realty Sdn. Bhd di Bilik Tun Bijasura, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin dan Pengarah Skywiz Realty Sdn Bhd Chong Kah Khen dan Clement Lau Wei Kiat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri menerusi LPM turut akan meneliti semula dasar pembinaan lot-lot kedai di Melaka bagi memastikan setiap pembangunan dilengkapi kemudahan lif.

Jelasnya, penyediaan fasiliti tersebut penting terutama bagi memudahkan golongan warga emas serta pengguna yang memerlukan akses lebih selesa dan selamat.

“Kita mahu setiap pembangunan yang dilaksanakan mengambil kira aspek kemudahan dan keselesaan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan warga emas.

“Pendekatan ini penting, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan di Melaka bukan sahaja berkembang dari segi fizikal malah memenuhi keperluan sosial masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1598
Kongsi :
Previous post WRUR SUNGAI RAMBAI: RM1 JUTA BINA BAHARU, BAIK PULIH RUMAH RAKYAT
Next post SWM ENVIRONMENT, KOLEJ KOMUNITI JASIN JALIN KERJASAMA STRATEGIK DALAM PENGURUSAN SISA MAMPAN